AFUNDI AF DIBERHENTIKAN

Entri ini telah bermain-main dalam fikiran ku beberapa hari yang lalu, tetapi sengaja aku simpan dahulu.
Hari Ahad yang lalu, ketika menunggu perlawanan separuh masa kedua perlawanan liga Inggeris di antara Manchester United dan Arsenal, aku menekan sekilas lalu program-program di Astro. Dan ketika tangan ku gatal menekan ‘channel’ 109, aku terhenti sejenak dan terkesima.
Ketika itu, program ulang tayang Akademi Fantasi musim ke-6 sedang ke udara. Aku memang tidak pernah menonton rancangan ini sejak dari dahulu lagi. Oh! Oh! Mungkin sesekala seperti ketika Mawi dinobatkan sebagai juara AF musim ke-3, itu pun secara tidak sengaja kerana kedai mamak yang aku kunjungi malam itu tiba-tiba membuka rancangan Akademi Fantasia untuk pengunjung-pengunjung restorannya. Atau pun ketika menziarahi rumah saudara mara dan secara sopan di dalam keterpaksaan, aku gagahi juga menonton rancangan tidak bermoral dan terlalu sampah ini.
Kerana itu, aku membiarkan sahaja skrin di TV menayangkan aksi-aksi pelajar AF yang sedang bernyanyi entah apa-apa. Aku mahu melihat, adakah ia sudah bertukar format dan menjadi sesuatu yang bagus dan berguna. Lagipun ada beberapa minit lagi sebelum perlawanan separuh masa kedua bermula.
Aku tidak melihat semuanya menyanyi, sekadar dua atau tiga pelajar sahaja. Tetapi dari apa yang aku lihat, mereka sebenarnya kurang layak lagi untuk menyanyi. Suara sumbang yang boleh memecahkan gegendang telinga. Dan mimik muka ketakutan seolah-olah mahu terkucil.
Dan juri-jurinya pula memberikan kritikan yang kadang-kadang tidak masuk dek akal dan sukar difahami. Penggunaan metafora dan ekspresi itu bagus, tetapi perlu disesuaikan pada suasana dan tempat. Entahlah, kasihan melihat adik-adik yang mahu jadi penyanyi ini terkebil-kebil dan mengangguk terima kasih bila juri selesai memberi kritikan. Tetapi melihat dari riak wajah, jelas mereka tidak faham apa yang dikatakan oleh juri-juri itu!
Jangan salah faham. Aku bukan menentang keseluruhan ‘establishment’ muzik. Aku juga kadang-kadang melihat program-program hiburan. Dan tanyalah ‘mp3 player’ ku. Pelbagai genre ada. Dari Radiohead dan ColdPlay ke Sudirman dan Alleycats. Dari Linkin Park ke keroncong ‘Hujan’ nyanyian penyanyi berbakat Adibah Noor. Mozart dan Rock Kapak pun ada! Nasyid ala pop pun ada! Oh! Aku bukan membenci ‘establishment’, tetapi tidak suka pada sistem dan orang yang memanipulasikan ‘establishment’ itu sendiri.
Benar kah mereka mahu mengangkat martabat bidang hiburan di Malaysia? Atau sekadar mahu mengaut keuntungan daripada pengirim-pengirim SMS yang tidak faham bahawa duit itu lebih baik dilaburkan kepada sesuatu yang lebih berfaedah? Beramal jariah pada tabung Palestin misalnya?
Kita sudah ada lima musim, kalau aku tidak silap. Berapa banyak bintang-bintang yang telah dihasilkan oleh Akademi Fantasia? Ku kira, mereka yang berjaya, jika dikumpulkan masih lagi tidak mencukupi untuk membuat program Akademi Fantasia : Return of the best!
Dan apa pula mahu ditonjolkan wanita yang sudah bergelar nenek sebagai penyanyi baru? Sungguh tidak masuk dek akal. Ku kira, dia masih mahu menyanyi walaupun umurnya sudah menjangkau 70 tahun! Dan kakak kepada ‘penyanyi yang itu’ pula dimanipulasikan sebagai tarikan musim baru.
Ini kah pelapis pada generasi penyanyi-penyanyi di Malaysia? Kacau! Kacau!
Terlalu banyak hiburan. Tetapi terlalu sedikit kualiti dan mesej berguna.
Dan ku kira aku ini sentimentalist kerana teringat akan program bintang RTM tahun-tahun 80an dan 90an dahulu yang telah melahirkan banyak penyanyi-penyanyi berbakat yang bertahan hingga ke hari ini.
Pantas aku menekan butang 812. Ronaldo sedang berlari masuk ke padang perlawanan. Dan aku tersenyum kembali. Hidup Manchester United!


2 Comments:
Mungkin -ini mungkin saja- kalau kita ubah tune suara pengkritik dalam rakaman, dan kita perdengarkan balik, mungkin pengkritik tu pun tak faham apa yg dia cakap.
Memang bebulu saja telinga, terutama bila ada yang bagi komen dengan menyelitkan unsur agama. Puarghhhhhh -kata watak dalam novel Shahnon Ahmad- menyampah aku!
Saya ke warung buku Jejari Seni dan sempat membeli buku sdr selepas beberapa minit flirting... eh menguji adik praktikal di warung buku itu sambil menunggu2 penulis novel Dejavu yang lama minum petang.
Tapi belum sempat membaca lagi novel yg itu. Baru sedang menghalusi Mencari Jalan Pulang -memoir Kassim Ahmad.
john,
pertama sekali, "Hidup Manchester United!!"
kedua, tentang akademi fantasia musim ke 6 yg sedang berlangsung sekarang. menyedihkan! itu komenku yang pertama, kerana melihatkan gelagat pelajar dan juri yang menjadi 'bintang' sebenar rancangan realiti itu. aku juga sebenarnya baru sahaja mengikuti siri realiti ini pada petang ahad lepas. itupun kerana aku punyai terlalu masa untuk dilakukan hal-hal lain. dan mungkin aku terlalu malas petang itu. jika mahu diperkatakan tentang mutu, mungkin hanya 3 dari 9 pelajar yg ada yang layak aku katakan punyai masa depan sebagai penyanyi@penghibur. yang lain hanya layak sekadar jadi juruhebah@juruacara di rangkaian astro. atau penyeri bagi majalah "mangga" ( makcik tua itu layakkah muncul dlm majalah pojok paling popular itu? )
dan paling membuat aku terasa ingin muntah di hadapan tv adalah gelagat para-para juri akademi fantasi. aku kira hujah dan penilaian mereka adalah yang paling kreatif hingga aku merasakan jika para peserta diberi pilihan, mereka lebih suka diadili di 'american idol'!! meloyakan, dengan penggunaan bahasa yg begitu "tinggi" ( john, aku terfikir fauziah ahmad daud itu sudah boleh layak menulis sebuah novel sastera! atau mungkin buku keluaran PTS yg berjudul 'bagaimana meningkatkan prestasi nyanyian anda") dan akhirnya peserta-peserta yg kita ketahui sering 'terlupa' dengan lirik lagu, atau yang harus bertukar lagu kerana tidak tau membaca lirik atau peserta yang mempunyai sebutan "malaygish" hanya akan jadi burung belatuk mengangguk-angguk kepala walaupun sepatah haram pun tak tau apa yang dikritik oleh para juri yang 'bijaksana'!
aku lebih suka dengan konsep terbuka dalam pertandingan nyanyian. kamu bebas memilih lagu yg kamu ingin nyanyikan (kita sendiri tahu kemampuan diri kita, dan yang lebih penting, kita tidak dimalukan jika gagal menyanyikan not tinggi ) bebas untuk menari atau tidak (jamal abdillah sehingga sekarang tidak perlu menari ketika menyampaikan lagu-lagunya) , bebas memilih pakaian yang ingin kamu gunakan ( teringat aku pada faizal tahir yg saban minggu hanya menyarung t shirt "S' sahaja). yang penting, pada diriku, adalah penyampaian suara yang dimiliki, mempergunakan lagu-lagu yang sesuai dengan suara yang ada dan mempersembahkan gerak badan yang bersesuaian dengan lagu yang disampaikan.
realiti tv sebenarnya hanya mempromosikan barangan ... sebenarnya hanyalah satu bentuk jualan yang akan dibeli oleh orang-orang yang terlalu taksub dan takjub dengan apa yang disampaikan. ini adalah industri hiburan, di mana seperti syarikat kamu dan aku bekerja, kita mahu memperlihatkan sesuatu yang energetik dan memukau semata-mata untuk mengajak orangramai mengerumuni dan seterusnya membeli apa yang dipersembahkan.
maka, ingatkan diri sendiri dan semua yang kita kenali, akademi fantasia ini adalah sebuah perniagaan. dan tuan-tuan dan puan-puan sebenarnya sedang 'membayar' persembahan yang dihidangkan oleh astro untuk anda menikmatinya. ( ini tidak termasuk bayaran bulanan yang anda bayar untuk siaran astro).
selamat terhibur!
Post a Comment
<< Home