Monday, May 19, 2008

Penulis unisex?



Selalu diberitahu melalui forum-forum internet dan sembang-sembang bersama penulis, bahawa penulis lelaki tidak dapat menyelami hati dan perasaan wanita dalam novel-novel mereka. Begitu juga sebaliknya. Persepsi ini bagaikan sudah menjadi ‘peraturan’ tidak rasmi dalam penghasilan novel di Malaysia. Penulis lelaki dengan watak utama lelaki dan penulis perempuan dengan watak utama perempuan.

Tanpa menidakkan bahawa emosi seorang wanita itu lebih mudah dilakarkan oleh penulis wanita (dan sebaliknya), aku rasa ia adalah sesuatu yang salah dan harus dibuang jauh-jauh jika kita ingin melihat dunia penulisan di Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan novel-novel antara bangsa di luar sana.

Pada aku, seorang penulis itu adalah pelukis dan warna-warna yang terpalit pada kanvas adalah setiap huruf patah perkataan yang dilontarkannya pada kertas. Novel adalah ekspresi seorang penulis pada lukisan kehidupan yang dilihatnya. Sama ada dari kaca mata protagonis lelaki atau wanita, ia tidak akan menjadi sesuatu yang obstructive pada kecantikan karya itu.

Lihat sahaja Kazuo Ishiguro (penulis lelaki) dalam ‘A Pale View of Hills’. Kisah tentang seorang wanita Jepun separuh umur tinggal di England, mengingati masa silamnya di Jepun setelah kematian anak perempuannya yang membunuh diri benar-benar meninggalkan kesan di hati. Atau novel ‘Jonathan Strange and Mr. Norrel’ hasil tulisan Susanna Clarke (penulis wanita) tentang dua ‘magician’ lelaki Inggeris kurun ke 17 yang mahu mengembalikan kegemilangan magis di bumi England. Seorang ingin membawa kembali mitos raja Raven ke bumi Inggeris dan seorang lagi mahu menghapusnya terus dari muka bumi England. Membacanya seolah-olah kita sendiri berada pada kurun ke 17 di bumi Inggeris dalam menghayati pertentangan dua watak lelaki itu.

Nah! Dua penulis yang meletakkan jantina berlainan dalam perkembangan watak novel-novel mereka.

Seorang penulis, harus menjadi manusia yang sexless ketika menulis, memasuki dunia watak-wataknya dan berfikir dengan fikiran watak-wataknya. Sama ada watak-watak itu adalah lelaki, wanita, kanak-kanak (perempuan dan lelaki) atau dari spesies pelbagai jantina, penulis harus dapat menulis ceritanya dalam perspektif watak-wataknya DAN BUKAN hanya dari pandangan penulis itu sendiri.

Jadi sebenarnya, tidak ada masalah untuk sebarang penulis, lelaki atau perempuan melakarkan karya mereka dengan watak-watak yang dipilih. Asal sahaja novel itu membawa tema yang dapat mengingatkan orang pada kebaikan, dan sebagai seorang Islam, mengingatkan manusia pada Tuhan, aku kira novel itu telah berjaya.

Pendek kata, penulis harus hidup dalam watak-watak itu, bernafas dalam nafas watak-watak itu agar novel mereka menjadi ‘hidup’ dan terkesan di hati.

Jika tidak, kita akan selama-lamanya berada pada takuk sama dan tanpa perubahan baru.

1 Comments:

Blogger Maizura Mohd Ederis said...

Setuju...penulis mesti sexless. tapi dalam genre novel popular tempatan, sudah jadi kebiasaan penulis perempuan untuk menulis hal-hal perempuan, yang penuh emosi, tangisan, kekecewaan, fokus pada topik hubungan (relationship), kekeluargaan, kasih sayang, cinta, etc. Dan jadi kebiasaan pula penulis lelaki menulis tetang penyiasatan, thriller, perniagaan, etc. Contohnya Ramlee Awang Mursyid, Abdul Rahim Awang, etc.

May 20, 2008 5:57 PM  

Post a Comment

<< Home