Thursday, June 26, 2008

Bila kali terakhir engkau membeli buku?


Dato Shafie Afdal, menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan memberitahu bahawa purata keluarga di Malaysia berbelanja untuk membeli buku adalah lebih kurang RM50 setahun. Jelasnya walaupun jumlah tersebut agak kecil tetapi terdapat peningkatan minat membaca serta trend membeli buku di kalangan rakyat Malaysia..

Sukar untuk mempercayai bahawa inilah realiti yang harus dihadapi oleh dunia penulisan di Malaysia. Pada aku, semakin bertambah sukarlah untuk membuat satu karya yang benar-benar berkualiti dan betul-betul bertaraf antarabangsa kerana rasanya, tidak ada orang yang akan membeli karya itu. Tidak cukup duit, nanti itu yang dikata oleh mereka. Patutlah bahan bacaan ringan lebih berjaya dipasarkan daripada yang bersifat akademik dan fiksyen yang mencabar.

Aku ada satu teori. Mungkin dengan RM50, ramai pembeli novel dan buku akan berfikir dua tiga kali untuk memilih buku apa yang mahu dibeli. Mungkin mereka fikir adalah lebih baik membeli:

a) Buku-buku cinta remaja/terlalu santai, buku tanpa perlu berfikir ketika membaca. Lagipun sekarang ini masing-masing sakit kepala dengan kegawatan ekonomi, jadi kenapa perlu sakitkan kepala lagi dengan membaca sesuatu yang membuatkan kita harus berfikir?

b) Bahan-bahan bacaan asing kerana menganggap tidak ada bahan bacaan tempatan yang berkualiti.

Jadi sebab itu, wahai kerajaan/pengkritik sastera/pembeli buku orang Melayu yang kadang-kadang geli mahu membeli novel Melayu, jangan salahkan penulis-penulis Melayu jika lebih banyak genre cinta yang dihasilkan oleh mereka berbanding genre lain. Kerana apa? Kerana Genre cinta adalah genre yang paling mudah sekali untuk dijual. Lagipun kawan, penerbit mahu ‘hidup’ dan mencari makan juga. Penulis pun sama!

Aku tidak nafikan bahawa sudah ada ramai penulis yang cuba lari dari genre cinta (daripada penerbitan kreatif/popular) atau cinta hanya diselitkan sebagai isu kecil dalam novel, tetapi jika tidak ada ‘support’ daripada orang ramai dan pihak-pihak yang berkenaan, penulis-penulis ini juga akan berasa lelah untuk menulis sesuatu yang berkualiti tetapi tidak boleh cari makan terus.

Inilah realiti yang harus kami tempuh. Bukannya prejudis atau pesimis. Tetapi kebenaran yang tidak dapat disangkal.

Melihat kembali kata-kata Dato Shafie, menteri itu merayu semua pihak (kerajaan dan swasta) untuk menggalakkan budaya membaca kerana bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membaca. Apa yang dikatakannya betul. Tetapi saranan itu tidak lebih seperti melepaskan batuk di tangga. Sekadar bercakap tanpa memberikan langkah-langkah yang perlu untuk mewujudkan budaya suka membaca itu adalah seperti tindakan untuk melepaskan diri sendiri secara halus. Kita perlukan cadangan yang konstruktif, bukan hanya cadangan tanpa menggariskan apa yang harus dilakukan.

Nah! Dia juga menyarankan bahawa harga buku harus diturunkan. Erm... diturunkan? Aku rasa mungkin dia tidak peka dengan perkembangan semasa. Dalam kegawatan ekonomi dan harga minyak yang semakin naik, sukar untuk membuat rasional atas saranan itu. Bukan aku tidak suka harga buku turun, tetapi mahukah pihak-pihak berkaitan mahu menurunkannya?

Lagipun, dalam laporan berita harian hari ini, dinyatakan bahawa penerbit-penerbit buku Melayu telah menerima impak hasil daripada kegawatan ekonomi dan harga minyak yang naik. Harga cetakan sudah semakin naik, jadi bagaimana mahu menurunkan harga buku.

Aku cuma berharap satu perkara sahaja, jika tahun hadapan menteri kebudayaan, kesenian dan warisan di tanya soalan yang sama, aku harap jawapannya bukan begini:

“Purata satu keluarga membeli bahan bacaan setahun Cuma RM10, tetapi itu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mahu untuk membaca lagi. Satu perkembangan yang MASIH sihat!”

6 Comments:

Blogger imaen said...

JN,
mulai julai hingga akhir tahun ini kos kertas dijangka meningkat sehingga 50 peratus - hehehe ...

June 26, 2008 10:08 PM  
Blogger John Norafizan said...

Imaen,
Aduhai nampaknya kalau macam tu nak beli novel lepas ni kuantitinya terpaksa dikurangkan sebulan satu novel ler gamaknya...

Dan saya pasti juga, harga novel sekitar RM 20 akan melonjak juga menjadi lebih RM 25!

kecuali, ada perubahan pada 'sesuatu' di Malaysia... economically dan juga politically...

:) :) :)

June 27, 2008 9:12 AM  
Blogger Perindu said...

salam :)

baru kelmarin beli ggd :). Harga bukan persoalan bila minat mengatasi segalanya bukan ;)

masyarakat dimalaya membaca tapi barangkali mereka lebih teruja dengan bahasa inggeris takut nanti dikata ketinggalan zaman (seperti iklan dalam tv) atau mungkin kerna semenjak kecil minda mereka telah tertanam yang bahasa itu lebih gah, lebih mudah dapat kerja dan yang sejajar dengannya ;)

walau apapun terima kasih diatas karya yang bagus :)

salam

July 4, 2008 3:16 PM  
Blogger John Norafizan said...

salam perindu,
terima kasih kerana sudah mendapatkan GGD :) :)

Benar seperti yang dikatakan sdr, buku itu sebenarnya lebih bernilai jika hendak dibandingkan dengan wang ringgit itu sendiri.

Harap lebih ramai orang seperti saudara! :) :)

July 8, 2008 7:51 AM  
Anonymous zafiqa said...

kita tak dibesarkan dlm suasana yg menjadikan membaca tu sbg amalan...tak nmpk kepentingan membaca...n sy rasa harga bukan masalah bila kt nak membeli buku@novel@magazine etc...yg penting isi@ilmu yg boleh kt dpt jauh lebih berharga dr apa yg kt dah bayar...

September 10, 2008 5:28 PM  
Anonymous nur_salsabila said...

setuju dengan zafiqa
tapi saya bersyukur kerana membesar dalam keluarga yang
menekankan budaya membaca
hasilnya saya sangat suka membaca
dan tidak berkira bila hendak membeli sesebuah buku/majalah/novel dll
tapi bila tengok kawan2 lain
tidak suka membaca, agak sedih juga
sedangkan Nabi SAW juga tekankan kepentingan ilmu :)

~~~
saya dh dptkn GGD dan terus dptkn tanda tgn JN masa pesta buku tahun ni. beli buku tu secara 'tidak sengaja' di booth JS..hehe..mula2 agak ragu2 utk baca tapi lepas baca...two thumbs up for u, JN! sangat mengujakan. tak sabar nak baca novel2 yang lain :)

terkesan dgn kes murtad tu...
semoga terus hasilkan karya yg bermutu. may ALLAH bless you now and in the future undertakings :)

October 31, 2008 9:55 PM  

Post a Comment

<< Home