Tuesday, June 3, 2008

Sesat dalam terjemahan



Musim cuti sekolah memang sudah sinonim dengan upacara perkahwinan. Aku sendiri menghadiri upacara perkahwinan sepupu hari minggu yang lepas. Tetapi di sini, aku bukan mahu menceritakan betapa cantiknya kedua mempelai. Atau bagaimana konsep-konsep Hindu telah memasuki upacara perkahwinan orang Melayu (mungkin nanti untuk entri yang lain) dan menghilangkan tuntutan sebenar upacara perkahwinan. Tidak. Aku tidak mahu bercerita ini semua. Tetapi sekadar mahu mengeluh bila melihat bagaimana lebihan-lebihan makanan yang sudah tidak boleh dimakan terpaksa dibuang begitu sahaja.

Mungkin inilah kemewahan hidup di Malaysia, terlalu banyak nasi dan lauk pauk yang terpaksa dibuang. Terlalu banyak barang makanan yang sudah tidak boleh dimakan lagi. Pembaziran yang terlalu menjengkelkan. Bukankah harga beras sudah naik? Tetapi kalau sudah naik, kenapa ini semua masih berlaku lagi?

Perkahwinan orang Melayu memang telah dicucuk dengan jarum pembaziran yang melampau sejak lama dahulu. Beberapa hari lalu, terpampang di surat khabar tentang penceraian artis yang baru sahaja berkahwin lebih kurang seminggu. Cerita bercerai setelah kahwin seminggu memang sensasi. Tetapi cerita bagaimana pengantin perempuan terpaksa berhutang lebih dari RM 70 ribu semata-mata menjayakan majlis itu lebih sensasi dan memalukan diri.

Yang aku tidak faham, orang Melayu itu sinonim dengan agama Islam. Dan agama Islam itu sinonim dengan kesederhanaan dan tidak membazir. Malah salah satu sifat syaitan yang terkeji itu sendiri ialah suka membazir. Jadi beritahu aku, di mana relevannya orang Melayu itu dengan Islam?

Mungkin kah orang Melayu mahu menunggu bala seperti di Bosnia atau Palestin sebelum mahu mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih selari dengan tuntutan agama Islam yang suci?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home