Kasta
Pesta buku Selangor baru-baru ini menemukan aku dengan beberapa penulis. Aku kira, inilah dunia kami, dan satu-satunya peluang untuk mengenal antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi. Di luar sana, kami mungkin tidak kenal antara satu sama lain. Tapi di pesta buku, kami seperti ahli keluarga rapat yang hanya sempat bertemu dalam keraian setahun sekali.Banyak yang kami bualkan. Dan sudah tentu salah satunya adalah senario dunia penulisan tanah air.
Ah! Dunia penulisan sastera Melayu di Malaysia terlalu banyak pancarobanya. Terlalu banyak kasta dan paria sehingga kadangkala aku sendiri takut untuk menulis.
Jika engkau hendak tahu, di Malaysia ini, penulis itu terbahagi kepada dua; penulis kelas atasan dan penulis picisan. Penulis atasan ini adalah mereka yang kononnya pihak yang benar-benar memperjuangkan sastera. Pihak yang kononnya adalah pengkarya seni yang tulen. Pihak yang harus disanjung dalam majlis-majlis formal sastera sebenar. Pihak yang harus dipanggil bila ada diskusi-diskusi memperkatakan tentang sastera di Malaysia.
Satu lagi pihak adalah penulis paria. Penulis yang menulis dan diterbitkan oleh penerbit-penerbit yang bukan daripada DBP atau penerbit (yang juga kononnya) adalah penerbit yang hanya menerbitkan buku-buku sastera sejati sahaja. Dipendekkan cerita, setiap buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit yang telah ditandakan sebagai penerbit karya popular kreatif adalah buku-buku picisan dan setiap penulis yang bernaung di bawahnya juga adalah penulis-penulis paria!
Mungkin soalan yang perlu diberi perhatian kepada penulis-penulis baru adalah: adakah kamu mahu menjadi penulis sastera sebenar atau sekadar penulis paria? Kalau tidak mahu dipanggil penulis paria, jangan terbitkan karya anda dengan penerbit-penerbit popular masa kini! Nanti buku kamu akan dipanggil sebagai buku picisan!
Maaf, aku sekadar berjenaka. Apa yang aku mahu katakan adalah BULLSHIT semuanya.
Pada aku, tidak ada segregasi kasta yang menghinakan itu. Yang ada hanyalah pihak-pihak yang tidak mahu mengakui bahawa sesetengah karya yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit kreatif/popular adalah lebih baik dan punya nilai sastera daripada buku-buku yang diterbitkan oleh ‘penerbit-penerbit’ sastera.
Aku kira, melonggokkan semua-semua buku yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit buku popular/kreatif sebagai karya picisan adalah tidak adil sama sekali. Seperti melabelkan barang-barang yang dibeli di kedai kecil Pak Abu sebagai tidak standard dibandingkan dengan barang-barang yang dibeli di pasar raya- pasar raya terkemuka.
Entah aku tidak tahu, tetapi mungkin inilah sebenarnya nanah busuk yang melanda dunia penulisan kita. Masyarakat penulis yang bercakaran semata-mata kerana mahu mengekalkan kepentingan masing-masing. Aku cuma takut suatu masa nanti, masyarakat di luar akan hilang kepercayaan dengan dunia penulisan di Malaysia. Seperti pemimpin-pemimpin kita yang bercakaran dan membuat plot-plot busuk untuk mengekalkan kekuasaan, rakyat telah jelak dan bosan.
Tetapi mungkin kita di Malaysia ini masih punya mentaliti budaya kasta yang terlalu kuat. Kerana itu, sukar untuk menerima sesuatu yang ‘terkeluar dari kotak empat segi’ yang jumud.
Sepatutnya, semua orang harus bekerjasama dan duduk semeja bagi memikirkan cara agar budaya membaca di kalangan masyarakat dapat dipertingkatkan lagi. Bagaimana orang Malaysia boleh menjadi masyarakat membaca kelas pertama seperti di Jepun dan Eropah. Bagaimana kita pula, sebagai pengkarya (termasuk penulis dan penerbit dan semua orang yang berkecimpung dalam dunia penulisan), dapat memartabatkan lagi dunia penulisan tanah air supaya masyarakat antarabangsa membuka mata dengan karya-karya penulis kita. Bagaimana penulis-penulis di Malaysia boleh jadi seperti rakan-rakan mereka di luar negara yang boleh hidup walau hanya dengan menulis. Atau adakah mereka tidak pernah mendengar tentang sigma atau Poka-yoke atau GYAT?


4 Comments:
Salam sdr.
Saya tak mengira. Asalkan saya suka sesuatu buku itu, saya beli, saya baca. Isin dan jiwa buku itu lebih penting dari siapa penulis atau penerbitnya.
:)
Tidak hina dan tidak jatuh maruah membaca novel yang dikatakan novel picisan. Cuma abang long menolak novel porno. Teruja bertemu tempohari.
jowopinter,
Benar, orang kekadang lupa bahawa isi lebih penting daripada siapa yang menerbitkan atau yang menulisnya...
abang long...
saya pon tak pernah lagi membaca novel porno uhuhu...
SALAM ZIARAH FROM DUBLIN.. :)
Post a Comment
<< Home