Hak penulis dan tanggungjawab penerbit

Baru-baru ini satu forum berkenaan dengan hak cipta dan hak penulis telah diadakan di rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).
Beberapa perkara yang ku kira penting adalah:
1. Nisah Haron (penulis/pengamal undang-undang) memberitahu betapa pentingnya agar penulis tidak menutup mulut seandainya ditindas oleh penerbit (dalam hal yang bersangkutan dengan karya penulis). Penting untuk membawa kes-kes itu ke mahkamah supaya akta pelindungan penulis dapat berkembang dan dijadikan satu sampel atau bahan kajian untuk dunia sastera pada masa hadapan.
2. Etika penulis yang menghantar ‘dua kali’ karya mereka iaitu satu di internet dan satu untuk versi bercetak. Ia adalah sesuatu yang tidak bagus walaupun masih tidak salah di sisi undang-undang.
3. Pemahaman penulis tentang hak editor yang menyunting karya-karya penulis. (penulis kena faham mengapa editor terpaksa melakukan suntingan, jangan ingat karya kita 100% bagus! Jangan syok sendiri!)
4. Plagiarisme oleh penerbit melalui pengambilan karya-karya e-sastera tanpa persetujuan penulis. (Ini adalah golongan yang memakan hak orang lain!)
Tahu apa yang membuatkan perasaan aku membuak-buak naik bagai dirasuk mahu masuk berperang? Ya. Nombor yang satu itu – kesedaran penulis dalam mempertahankan haknya.
Memang banyak aku dengar kisah-kisah rakan penulis yang tidak mendapat honorarium atau royalti yang sewajarnya daripada penerbit walaupun karya mereka terjual laku. Penerbit-penerbit pula seolah-olah jadi diktator kepala busuk yang mengaut keuntungan tanpa memberikan apa-apa kepada penulis.
Sampaikan ada penulis yang datang merayu-rayu semata-mata mahu mendapatkan hak mereka. Penulis pula jadi pengemis untuk mendapatkan sedikit ganjaran atas hasil titik peluh mereka sendiri. Mengemis, tuan puan! Jadi Pengemis, tuan puan!
Di mana letaknya integriti penerbit? Bukankah tanpa penulis-penulis ini, penerbit tidak ada apa-apa? Tidak ada duit untuk meneruskan perniagaan mereka? Mereka akan jadi burung-burung hering yang mencari bangkai kerana daging-daging panggang yang sedap untuk dilahap telah tiada lagi.
Aku cuma berharap satu sahaja, semoga penerbit-penerbit yang terbabit ini sedar bahawa doa-doa orang yang teraniaya itu makbul dan balasan di akhirat nanti adalah sesuatu yang pasti! Ya Allah! Laknatlah pada orang yang memakan hak orang lain! (walaupun memaafkan orang lain adalah perkara yang lebih mulia)
Maaf, emosional pula aku.
Berbalik kepada perkara nombor satu itu, ku kira setakat ini, cuma ada seorang sahaja rakan penulis yang ku ketahui akan dan sedang membawa kesnya ke mahkamah. Dia punya isu dengan penerbitnya. Karyanya banyak dijual tetapi bila ditanya penerbit, penerbit kata tidak laku! Kedua-duanya (penulis dan penerbit) adalah manusia-manusia yang ku kenal.
Tetapi aku berharap bahawa penulis itu akan memenangi kes ini bila dibicarakan di mahkamah kelak. Dan rakan penerbit ini akan menerima pengajaran yang setimpal. Bukan apa, biar orang tahu betapa sakit dan susahnya menjadi seorang penulis itu, tetapi dengan senangnya orang lain pula yang mendapat untung.
Kita kena faham satu perkara, penerbit dan penulis itu bagai aur dengan tebing. Saling memerlukan. Saling menerima dan memberi. Jika satu pihak tidak berpuas hati, maka pergabungan itu akan jadi sesuatu yang ‘panas’ dan tidak tahan lama. Tanpa penerbit, penulis tidak akan dikenali sebagai seorang penulis. Tanpa penulis, penerbit itu tidak ada apa-apa yang hendak dibanggakan!
Wahai penulis, berilah yang terbaik untuk masyarakat kamu dan niatkan apa yang kamu buat hanya untuk ALLAH.
Wahai penerbit, jangan dikaburi dengan wang ringgit sehingga kebajikan penulis dilupakan, nanti kamu juga yang rugi! (dan sanggup kah engkau duduk di tempat yang panas selama-lamanya?)...





