Novel Melayu akan difilemkan? Biar benar!

Kita sudah maklum bahawa di barat, karya-karya/novel-novel penulis mereka amat dihargai dan banyak yang digunakan untuk diadaptasi menjadi filem. Ada yang berjaya, ada yang tidak. Dan ada juga yang memenangi anugerah tertinggi perfileman antarabangsa. Dan mereka terus komited dalam menjadikan buku-buku atau hasil kesusasteraan sebagai salah satu sumber penting dalam penghasilan filem yang berkualiti.
Di Indonesia pula, ‘Ayat-Ayat Cinta’ karya Abdurrahman Al Shirazy telah difilemkan dan kini mendapat sambutan yang amat menggalakkan oleh penggemar filem. Nanti akan menyusul pula novel ‘Laskar Pelangi’ karya Andrea Hirata dan ‘Wo Ai Ni Allah’ hasil nukilan Vanny Chrisma W. yang juga akan diadaptasikan ke layar perak.
Tapi bagaimana pula dengan senario di Malaysia?
Aku rasa impian melihat novel-novel Melayu difilemkan adalah seperti melihat manusia menjejakkan kaki ke planet Marikh – mungkin akan terjadi tetapi tidak tahu bila!
Bukan kita tidak ada filem-filem dari adaptasi novel/cerpen. Sebagai contoh, ‘Mira Edora’, ‘Black Wido’ dan ‘Jogho’ (sekadar menyebut beberapa nama), tetapi dalam konteks hari ini, aku tidak nampak ada penggiat-penggiat filem yang mahu mengambil hasil penulisan penulis-penulis di Malaysia untuk diketengahkan menjadi sebuah filem yang hebat.
Mereka seolah-olah takut untuk mengambil inisiatif mengetengahkan karya-karya penulis Malaysia ke layar perak.
Adakah salah penulis? Atau produser filem yang tidak mahu melihat pada novel-novel Melayu? Atau salah penerbit-penerbit buku yang tidak mencari jalan agar karya-karya penulis mereka difilemkan? Atau penonton yang hanya mahu karya-karya mudah (tapi entah apa-apa) yang terlalu disogokkan ke muka kita selama ini?
Fikir-fikirkanlah!





