Thursday, June 26, 2008

Bila kali terakhir engkau membeli buku?


Dato Shafie Afdal, menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan memberitahu bahawa purata keluarga di Malaysia berbelanja untuk membeli buku adalah lebih kurang RM50 setahun. Jelasnya walaupun jumlah tersebut agak kecil tetapi terdapat peningkatan minat membaca serta trend membeli buku di kalangan rakyat Malaysia..

Sukar untuk mempercayai bahawa inilah realiti yang harus dihadapi oleh dunia penulisan di Malaysia. Pada aku, semakin bertambah sukarlah untuk membuat satu karya yang benar-benar berkualiti dan betul-betul bertaraf antarabangsa kerana rasanya, tidak ada orang yang akan membeli karya itu. Tidak cukup duit, nanti itu yang dikata oleh mereka. Patutlah bahan bacaan ringan lebih berjaya dipasarkan daripada yang bersifat akademik dan fiksyen yang mencabar.

Aku ada satu teori. Mungkin dengan RM50, ramai pembeli novel dan buku akan berfikir dua tiga kali untuk memilih buku apa yang mahu dibeli. Mungkin mereka fikir adalah lebih baik membeli:

a) Buku-buku cinta remaja/terlalu santai, buku tanpa perlu berfikir ketika membaca. Lagipun sekarang ini masing-masing sakit kepala dengan kegawatan ekonomi, jadi kenapa perlu sakitkan kepala lagi dengan membaca sesuatu yang membuatkan kita harus berfikir?

b) Bahan-bahan bacaan asing kerana menganggap tidak ada bahan bacaan tempatan yang berkualiti.

Jadi sebab itu, wahai kerajaan/pengkritik sastera/pembeli buku orang Melayu yang kadang-kadang geli mahu membeli novel Melayu, jangan salahkan penulis-penulis Melayu jika lebih banyak genre cinta yang dihasilkan oleh mereka berbanding genre lain. Kerana apa? Kerana Genre cinta adalah genre yang paling mudah sekali untuk dijual. Lagipun kawan, penerbit mahu ‘hidup’ dan mencari makan juga. Penulis pun sama!

Aku tidak nafikan bahawa sudah ada ramai penulis yang cuba lari dari genre cinta (daripada penerbitan kreatif/popular) atau cinta hanya diselitkan sebagai isu kecil dalam novel, tetapi jika tidak ada ‘support’ daripada orang ramai dan pihak-pihak yang berkenaan, penulis-penulis ini juga akan berasa lelah untuk menulis sesuatu yang berkualiti tetapi tidak boleh cari makan terus.

Inilah realiti yang harus kami tempuh. Bukannya prejudis atau pesimis. Tetapi kebenaran yang tidak dapat disangkal.

Melihat kembali kata-kata Dato Shafie, menteri itu merayu semua pihak (kerajaan dan swasta) untuk menggalakkan budaya membaca kerana bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membaca. Apa yang dikatakannya betul. Tetapi saranan itu tidak lebih seperti melepaskan batuk di tangga. Sekadar bercakap tanpa memberikan langkah-langkah yang perlu untuk mewujudkan budaya suka membaca itu adalah seperti tindakan untuk melepaskan diri sendiri secara halus. Kita perlukan cadangan yang konstruktif, bukan hanya cadangan tanpa menggariskan apa yang harus dilakukan.

Nah! Dia juga menyarankan bahawa harga buku harus diturunkan. Erm... diturunkan? Aku rasa mungkin dia tidak peka dengan perkembangan semasa. Dalam kegawatan ekonomi dan harga minyak yang semakin naik, sukar untuk membuat rasional atas saranan itu. Bukan aku tidak suka harga buku turun, tetapi mahukah pihak-pihak berkaitan mahu menurunkannya?

Lagipun, dalam laporan berita harian hari ini, dinyatakan bahawa penerbit-penerbit buku Melayu telah menerima impak hasil daripada kegawatan ekonomi dan harga minyak yang naik. Harga cetakan sudah semakin naik, jadi bagaimana mahu menurunkan harga buku.

Aku cuma berharap satu perkara sahaja, jika tahun hadapan menteri kebudayaan, kesenian dan warisan di tanya soalan yang sama, aku harap jawapannya bukan begini:

“Purata satu keluarga membeli bahan bacaan setahun Cuma RM10, tetapi itu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mahu untuk membaca lagi. Satu perkembangan yang MASIH sihat!”

Friday, June 20, 2008

MASKARA 9!!


MAHU DEKLAMASI SAJAK ATAU BACA 'EXCERPT' DARI GARIS-GARIS DEJA VU?

Tuesday, June 17, 2008

Che Det vs Pak Lah vs Anwar


Aku sebenarnya tidak mahu menjadikan blog ini sebagai blog satira politik. Tetapi kenyataan CheDet tentang PakLah dan Pak Jib telah 'mengangkat' keningku ala-ala Ziana Zain. Sesuatu yang menarik dan sukar untuk dilepas-pandang begitu sahaja walaupun oleh penulis picisan sepertiku.

11. Saya percaya kali ini UMNO dan Barisan Nasional akan hancur langsung. Dato Seri Abdullah tidak akan jadi Perdana Menteri dan dianya tidak akan dapat serahkan jawatan Perdana Menteri kepada mantan Timbalannya, Dato Seri Najib Tun Razak. LAGI...

Adakah ini yang dinamakan suara membela rakyat dan yang hak ATAU permainan politik Machiavelli ATAU SEKADAR melepaskan emosi kerana idea jambatan bengkok telah di'scrap' oleh pemerintahan sekarang?

Thursday, June 5, 2008

Barack Obama yang terlaknat



"Jerusalem will remain the capital of Israel and it must remain undivided," Obama said. Lagi...

BARRAK OBAMA, semoga Tuhan melaknat engkau. Jerusalem akan selama-lamanya menjadi hak orang Palestin sehingga ke akhir zaman.

Ya Allah, selamatkanlah orang Palestin dari segala bentuk penindasan Zionisme yang terlaknat ini.

Celakalah manusia yang menindas manusia lain seperti Israel.

Tuesday, June 3, 2008

Sesat dalam terjemahan



Musim cuti sekolah memang sudah sinonim dengan upacara perkahwinan. Aku sendiri menghadiri upacara perkahwinan sepupu hari minggu yang lepas. Tetapi di sini, aku bukan mahu menceritakan betapa cantiknya kedua mempelai. Atau bagaimana konsep-konsep Hindu telah memasuki upacara perkahwinan orang Melayu (mungkin nanti untuk entri yang lain) dan menghilangkan tuntutan sebenar upacara perkahwinan. Tidak. Aku tidak mahu bercerita ini semua. Tetapi sekadar mahu mengeluh bila melihat bagaimana lebihan-lebihan makanan yang sudah tidak boleh dimakan terpaksa dibuang begitu sahaja.

Mungkin inilah kemewahan hidup di Malaysia, terlalu banyak nasi dan lauk pauk yang terpaksa dibuang. Terlalu banyak barang makanan yang sudah tidak boleh dimakan lagi. Pembaziran yang terlalu menjengkelkan. Bukankah harga beras sudah naik? Tetapi kalau sudah naik, kenapa ini semua masih berlaku lagi?

Perkahwinan orang Melayu memang telah dicucuk dengan jarum pembaziran yang melampau sejak lama dahulu. Beberapa hari lalu, terpampang di surat khabar tentang penceraian artis yang baru sahaja berkahwin lebih kurang seminggu. Cerita bercerai setelah kahwin seminggu memang sensasi. Tetapi cerita bagaimana pengantin perempuan terpaksa berhutang lebih dari RM 70 ribu semata-mata menjayakan majlis itu lebih sensasi dan memalukan diri.

Yang aku tidak faham, orang Melayu itu sinonim dengan agama Islam. Dan agama Islam itu sinonim dengan kesederhanaan dan tidak membazir. Malah salah satu sifat syaitan yang terkeji itu sendiri ialah suka membazir. Jadi beritahu aku, di mana relevannya orang Melayu itu dengan Islam?

Mungkin kah orang Melayu mahu menunggu bala seperti di Bosnia atau Palestin sebelum mahu mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih selari dengan tuntutan agama Islam yang suci?