Aldarian: Novel kanak-kanak
BAB 1: Kehilangan Haikal
Malam gelap tanpa bintang. Unggas malam berteriak sayu bagai lagu pilu dibawa angin lalu. Bulu romanya meremang sejuk. Fitri memejamkan mata. Seribu satu suara-suara kecil bagaikan menerjah di pendengaran. Di mana Haikal?
Fitri menyumpah di dalam hati. Kalau diikutkan marah, mahu sahaja dia meninggalkan Haikal di dalam belantara gelap itu begitu sahaja. Biar padan dengan muka Haikal yang degil. Sudah beberapa kali diberitahu tadi, jangan merayap di dalam hutan malam-malam begini. Kalau mahu buang air kecil, pergi sahaja di kawasan belukar di tepi khemah.
“Haikal! Haikal! Hoi! Kau jangan nak main-main dengan abang! Kalau aku dapat kau... nahas kau nanti!” Fitri menjerit lagi sambil menahan marah. Namun adik lelakinya yang berumur sepuluh tahun itu tidak membalas laungannya. Sudah tiga kali panggilan Fitri tidak berjawab. Dengan pantas dia menuruni lurah curam dengan hati yang risau.
Ayah yang menyuruh dia membawa Haikal di dalam perkhemahan kali ini. Memang setiap tahun Fitri dan empat lagi rakan baiknya akan pergi berkhemah bila tiba musim cuti sekolah. Tahun lepas ke Desaru, dua tahun lepas ke gunung panti di Kota Tinggi. Tahun ini ayah membenarkan dia dan rakan-rakannya pergi ke gunung Ledang. Lagipun kata ayah, rumah pak Ucu, ayah saudaranya ada di Sagil, Muar. Tetapi Fitri memang tidak bersetuju bila ayah mencadangkan agar Haikal ikut bersama.
Mana boleh! Haikal masih lagi kecil. Kecil dan degil. Mana boleh bercampur dengan orang dewasa sepertinya?
“Hai, Fitri ingat Fitri dah besar ke? Baru aja enam belas tahun!” Sampuk mama sambil tertawa kecil bila melihat wajah Haikal yang masam mencuka ketika dia cuba menentang cadangan ayah tempoh hari.
“Lagipun... Fitri asyik bergaduh aja dengan Haikal. Ni lah masanya nak berbaik-baik adik-beradik. Kan abang sepatutnya baik dengan adik sendiri?”
Haikal tidak dapat menyangkal kata-kata mama. Memang dia tidak menyukai Haikal sejak Haikal dilahirkan lagi. Fitri tahu kenapa. Haikal terlalu manja dan suka merengek. Dan segala apa yang dimintanya pasti akan ditunaikan oleh ayah dan mama. Itu yang membuatkan Fitri geram. Dan lagi, Haikal suka menconteng buku-buku persekolahannya.
Dia masih ingat lagi sewaktu di tingkatan satu dahulu, habis buku karangan sekolahnya diconteng Haikal. Seluruh kelas mentertawakan Fitri. Dan dia dihukum oleh cikgu kerana tidak pandai menyimpan buku-bukunya dengan teliti.
“Haikal! Haikal!” Jerit Fitri pantas meredah semak samun di banjaran gunung Ledang itu. Dia berpaling ke belakang. Nampak unggun api kawasan perkhemahannya yang meliuk-liuk di tiup angin malam. Tidak ada lagi suara jenaka dan ketawa empat lagi rakannya. Mungkin sudah masuk tidur. Kesemua rakan-rakan Fitri mahu menolong Fitri mencari Haikal tadi, tetapi ditolak Fitri mentah-mentah. Fitri pasti Haikal sengaja bersembunyi untuk menakutkan mereka.
“Kalau aku dapat kau, aku lanyak kau cukup-cukup!” Gerutu Fitri sambil melangkah pantas. Daun-daun senduduk dan anak-anak pokok hutan dipijaknya dengan geram. Dia terus menuruni kaki gunung menuju ke tepi sungai kecil yang mengalir lesu.
“Hoi!” Langkah Fitri terhenti. Jantungnya berdegup kencang. Siapa yang berteriak tadi?
“Hoi! Hoi!” Suara yang menjerit itu semakin menjauh. Seolah-olah memberi isyarat agar Fitri mengikutnya.
Dia memandang ke sekeliling. Dahan-dahan hutan berdiri kaku di balik malam yang gelap. Angin seolah-olah telah berhenti bertiup. Dan suara-suara unggas malam yang kedengaran tadi telah hilang begitu sahaja. Malam yang sepi di balik bintang-bintang tanpa sinar.
Fitri menarik nafas sambil cuba menghilangkan ketakutan yang mulai bersarang di hati. Memang ada satu lagi kumpulan perkhemahan yang mereka jumpa petang tadi. Tetapi kumpulan perkhemahan pengakap-pengakap itu berada lebih kurang dua kilometer dari tempat Fitri berkhemah. Tidak ada yang berkhemah di kawasan kaki gunung Ledang ini kecuali dia dan rakan-rakannya. Lagipun, tidak mungkin dia sudah berjalan sebegitu jauh.
“Abang Fitri! Tolong!”
Sah! Kali ini suara Haikal yang memanggil namanya. Tetapi kenapa Haikal menjerit seperti berada di dalam ketakutan? Jantung Fitri berdebar kencang namun langkah kakinya semakin dipercepatkan. Dia sudah tidak kesah meredah semak samun dan belukar di tengah-tengah malam itu untuk mencari Haikal.
Dia berlari ke arah sungai menuruni lembah curam. Paku-pakis hutan diredahnya tanpa peduli. Tetapi kemudian kakinya tersadung akar kayu yang merentangi jalan. Fitri tersembam dan terus jatuh. Tetapi ada sesuatu yang aneh berlaku ke atas dirinya. Benar-benar aneh!
Fitri menjerit ketakutan.
Oh! Apa yang sedang berlaku ini? Dia sepatutnya sudah terjatuh dan menyembam bumi. Tetapi bukan itu yang terjadi kini. Fitri dapat merasakan dirinya seolah-olah terjatuh ke dalam satu lubang telaga yang dalam. Telaga yang tidak punya dasar dan begitu gelap sekali. Tubuhnya melayang-layang merempuh angin yang menggila. Kesejukan meratah seluruh tubuh Fitri. Bagaikan ais yang membekukan nadi dan urat saraf. Dan Fitri terus terjatuh dan terjatuh.
Fitri menjerit meminta tolong, tetapi suaranya bagaikan tersekat di celah kerongkong. Dia benar-benar ketakutan. Dia cuba mencapai apa sahaja buat memaut agar tidak terus terjatuh. Tetapi tidak ada apa-apa untuk dipaut. Fitri terus terjatuh.
Kemudian, satu gegaran kuat bagaikan guruh berdentum membingitkan suasana yang semakin menggila itu. Serentak dengan itu, satu cahaya hijau bersinar dengan terang sehingga menyilaukan matanya buat seketika. Fitri tidak tahu apa yang sedang berlaku kerana pada masa yang sama, tubuhnya semakin lama menjadi semakin lemah.
“Selamat datang ke Aldarian!”
Satu suara bergema lantang. Namun ketika itu, Fitri sudah tidak mendengarnya lagi. Matanya terkatup erat. Dia terus terjatuh bagai batu kecil menuju ke bawah. Ke arah dasar lubang besar (atau telaga atau apa-apa sahaja) yang tidak ada dasarnya...

Labels: novel kanak-kanak: genre fantasi