Monday, April 13, 2009

Mantera Hitam - sebuah rasa



Mantera Hitam adalah karya Serunai Fakir (SF) yang diterbitkan oleh Alaf21 (ISBN 978-983-124-406). Ia adalah karya pertamanya dalam genre fiksyen fantasi.

Terlebih dahulu, aku harus mengucapkan syabas kepada penerbitan Alaf21 yang mulai memperluaskan variasi genre buku yang diterbitkan oleh mereka ketika ini. Sekurang-kurangnya dunia penerbitan tanah air tidak lagi terlalu monotoni dengan novel-novel cinta yang sudah penuh di pasaran. Ia seperti menghirup udara segar pada wajah jalan yang sudah terlalu sesak.

Secara ringkas, Mantera Hitam mengisahkan tiga sahabat kecil yang bermain semangat duit untuk tujuan suka-suka (nah! Bukankah sesuatu yang suka-suka itu selalunya akan berakhir dengan tragedi?). Tetapi mereka telah membuka (?) sesuatu dari dunia hitam yang meniup bara menjadi api lalu menerbitkan pertelingkahan antara kebaikan dan kejahatan.

Pada masa yang sama juga, ia dikesampingkan melalui cerita seekor (?) jin yang dipenjarakan oleh pahlawan Melayu sejak dari zaman Melayu Melaka sehinggalah ia dibebaskan akibat permainan suka-suka memanggil semangat duit itu.

Kedua-dua kisah inilah yang saling bertaup dan membuatkan pembacaan begitu mengasyikkan.

Aku kira, imaginasi SF dalam Mantera hitam begitu terserlah dalam novel ini, dengan interpolasi dari zaman kejatuhan empayar Melayu Melaka pada tahun 1511 sehinggalah ke zaman milenium dan kota-kota jin yang menakjubkan. Penulis berjaya menggabungkan sejarah dan fiksyen membuatkan ia seolah-olah sesuatu yang pernah dan akan berlaku lagi pada masa hadapan.

Juga tahniah kepada lukisan persilatan dan seni warisan orang Melayu yang ditulis begitu baik oleh penulis. Aku kira ia adalah sebuah novel alternatif yang mesti kepada peminat-peminat novel Melayu.

Cumanya, mungkin yang membuatkan aku seakan menarik nafas ‘kegeraman’ adalah resolusi di akhir cerita. Mungkin ia disengajakan oleh penulis; dan ia menagih novel kedua (atau mungkin beberapa siri lagi?) untuk mencantumkan segala kisah-kisah yang dilontarkan. Mungkin Mantera Hitam adalah gula-gula sebelum santapan penuh selepas ini.

Apa pun, tahniah untuk SF!

1 Comments:

Blogger Serunai Faqir aka SF said...

Terima kasih bro atas ulasan bro ...

April 13, 2009 10:19 PM  

Post a Comment

<< Home