Friday, February 27, 2009

Pesta buku 2009



Fikiran tengah berserabut. Tak dapat nak berfikir panjang dan menulis lebih daripada 100 patah perkataan.

Hanya untuk memberitahu bahawa JN akan berada di Pesta Buku AntaraBangsa Kuala Lumpur 2009 di booth Jemari Seni pada 24.April.09 - 25.April.09.

Temui anda semua di sana!!

Monday, February 23, 2009

apa kaitan CAPPADOCIA dengan ODISI BULAN BIRU?

Nantikan jawapannya dalam Odisi Bulan Biru!


Thursday, February 19, 2009

Apa yang akan anda temui dalam ODISI BULAN BIRU



Lembah Taki di Furano seperti sebuah pulau di atas daratan. Hutan-hutan konifer dan gunung-gunung besar yang masih punya lahar aktif mengelilinginya. Ada sungai besar yang kami panggil Sorachi mengalir deras melalui lembah Taki, bersambung dengan sungai Ishikari berdekatan Sapporo dan terus menuju ke laut Jepun. Bandar besar yang paling hampir ialah Shimo-Furano. Dan Sapporo terletak lebih kurang 100 kilometer dari Furano.

Penduduk-penduduk di sini tidak punya cita-cita lebih tinggi selain daripada menjadi petani menanam bunga-bunga saf dan rapeseed. Seperti penanam-penanam anggur di sepanjang lembah Mediterranean yang mendewakan anggur, bunga saf dan rapeseed adalah kebanggaan kami.

Ayah punya kilang kecil untuk memproses bunga-bunga rapeseed menjadi minyak dan bunga-bunga saf yang dijadikan pewarna berwarna merah dan minyak saf. Sejak daripada kecil lagi aku benar-benar tertarik dengan keajaiban ini. Bagaimana bunga-bunga rapeseed yang kecil ini boleh bertukar menjadi minyak dan bunga-bunga saf yang kuning warnanya ini boleh bertukar menjadi warna merah saga? Hanya Tuhan sahaja yang tahu!

Aku dan Oroka (sebelum Oroka diserang demam panas) sering mengikut ibu memetik kelopak-kelopak bunga saf ketika waktu menuainya tiba. Waktu yang paling menyeronokkan buat kami. Tetapi sudah tentu kami hanya dibenarkan memerhati daripada jauh. Bunga-bunga saf punya duri-duri tajam di antara celah daun-daun dan batangnya. Dan ibu tidak mahu jari-jari kecil kami terluka disentuh duri-duri tajam itu. Untuk itu, ibu akan membelikan kami gula-gula manis Kompeitou sambil bercerita tentang bunga-bunga saf. Dan kami akan duduk diam sambil mendengar cerita ibu.

Kata ibu, bunga saf berasal dari kayangan. Pemberian dewi-dewi pada petani dan isterinya yang selalu bersikap baik pada manusia lain. Dahulu kala, hanya perawan-perawan sahaja yang dibenarkan memetik bunga-bunga saf. Dan mereka tidak pernah memakai sarung tangan getah seperti yang dipakai ibu. Tangan perawan-perawan ini akan terluka dan darah merah akan menyerap masuk ke kelopak bunga kuning itu. Darah ini yang membuatkan kelopak-kelopak bunga saf bertukar merah bila dijemur dan dikeringkan nanti.

Sekarang, tidak ada lagi perawan yang memetik bunga-bunga saf. Yang ada cuma ibu-ibu gendut atau lelaki-lelaki tua tiada gigi yang menawarkan diri untuk memetik bunga-bunga berduri ini. Semua anak perawan lebih suka duduk di rumah mewarnakan kuku sambil mendengar muzik-muzik barat tanpa memahami maknanya. Tetapi bunga-bunga saf tetap menghasilkan warna merah yang memukau pandangan dan jiwa yang resah.
Namun dua tahun yang lalu, sekumpulan pelajar dari universiti Tokyo datang dan mengubah tradisi itu walau untuk seketika cuma. Bayangkan. Dua puluh orang perawan bersenda-gurau dan bergelak-ketawa sambil memetik bunga-bunga saf. Dan orang-orang tua di kampung kami (termasuk juga anak-anak muda!) duduk di tepi padang sambil ternganga memerhatikan gadis-gadis itu dengan asyik. Seolah-olah mereka adalah bidadari yang baru sahaja turun dari kayangan. Seperti dewi-dewi yang diceritakan oleh ibu dahulu. Dewi-dewi yang terlalu cantik dalam pandangan mata kami!

Masing-masing terpaku bisu dalam ketakjuban yang parah. Seperti kecanduan dadah yang tidak boleh diubat lagi. Mungkin inilah kali pertama mereka melihat perkara seumpama itu. Masakan tidak. Gadis-gadis ini bukan berbangsa Jepun. Tetapi mereka boleh pula berbahasa Jepun dengan begitu petah sekali. Dan mereka juga lebih sopan (dan lebih cantik) daripada gadis-gadis Jepun sendiri!

Ya. Kata perempuan bertudung labuh ketua ekspedisi itu, mereka datang daripada jauh. Dari Malaysia. Atau Mareshia mengikut pelat lidah kami.
Aku dan Oroka benar-benar teruja bila mendengar nama Mareshia. Ayah dan ibu pula menjadi amat girang sekali. Seolah-olah berbangga dengan kedatangan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Jepun itu.

Tetapi keseronokan itu benar-benar hinggap pada diri Oroka seperti penyakit berjangkit yang menggerunkan. Dia tersenyum riang sambil menunduk hormat pada setiap pelawat-pelawat itu. Dan kemudian, dia berlari balik ke rumah sebelum kembali semula dengan glob atlas di tangan dalam keadaan nafas yang termengah-mengah. Dia mahu tahu di mana letaknya Mareshia.

“Aku mahu pergi ke Mareshia. Aku mahu ditemani dewi-dewi kayangan setiap masa!” Ujar Oroka tersengih tanpa malu.

Lagaknya telah mengundang tawa oleh mereka yang melihat Oroka. Gadis-gadis itu tertawa kerana berasa senang dengan Oroka. Tetapi kami pula tertawa geram kerana jelas, Oroka telah berjaya menambat hati dewi-dewi dari kayangan (seperti kata Oroka, bukan aku yang kata!) ini berbanding kami.

Hari pertama itu, Oroka menjadi anak muda yang paling beruntung di lembah Taki.

Tetapi pada hari itu juga, kebencianku pada Oroka mencapai takat didih yang tidak boleh disejukkan lagi.

Tuesday, February 17, 2009

Odisi: Doa



Tuhan,
Pada hari aku bertemu dengan-Mu,
Aku tidak punya apa-apa untuk dibawa kecuali rayuan di bibir,
Dan belas Ehsan-Mu di hati,
Segala-galanya akan berkumpul dengan pengharapan di hadapan-Mu,
Terkutuklah aku jika aku ditinggalkan tanpa apa-apa...
Jika hanya yang terpilih meminta belas di pintu-Mu,
Ke mana pendosa-pendosa mahu pergi, mencari harap?
Tuhan,
Bila aku datang kepada-Mu dengan seribu malu di Hari sendu,
Adakah Engkau akan menyelamatkan aku dari kebinasaan itu?

Labels:

Monday, February 16, 2009

Odisi Bulan Biru: Furano

“Akira, kau boleh pergi ke mana-mana tempat di seluruh pelosok dunia. Tapi jika kau sudah ke Furano, kau dah tak perlu ke mana-mana lagi. Furano adalah tujuh petala langit dan Furano adalah tujuh petala bumi.” Aku masih ingat kata-kata ayah sewaktu kami sekeluarga berkhemah di tepi hutan dalam sejuk mentari musim luruh dahulu. Kata-kata yang aku ingat sehingga ke hari ini. Kata-kata yang bagai sakti.



Labels: ,

Thursday, February 12, 2009

ODISI BULAN BIRU: SUNGAI SORACHI

Ada tempat yang airnya dalam dan ada tempat yang cetek. Tetapi dari hulu ke hilir, airnya berlari deras bagai dicemeti supaya cepat-cepat sampai ke laut Jepun yang biru.

Wednesday, February 11, 2009

ODISI BULAN BIRU 2

Kumpulan pergunungan Tokachi

Labels:

Tuesday, February 10, 2009

ODISI BULAN BIRU

Odisi Bulan Biru... latar penceritaan.. di sinilah segala-galanya bermula sehingga menemukan aku dengan Qistina....



Labels:

Monday, February 2, 2009

Odisi Bulan Biru: Sneak Peek 1

Odisi Bulan Biru. Ceritera takdir sebelum bertemu Qistina yang manis. Qistina dengan seribu misteri. Sebelum mimpi jadi igauan berduri lalu keluar daripada tidur dan memburu dalam jaga yang ngeri.

Bagaimana?
Bagaimana engkau dapat mengembalikan semula kehidupan lalu yang telah musnah? Bagaimana engkau dapat meneruskan kehidupan yang baharu? Bila mana dalam hati engkau tahu bahawa tidak ada lagi jalan untuk berpatah balik. Kerana di situ ada luka yang tidak dapat disembuhkan. Kepiluan yang tidak dapat diubati lagi.

Atau adakah nama Tuhan yang keseratus dapat mengubah segala-galanya?

Labels: