Tuesday, March 31, 2009
Monday, March 23, 2009
Odisi Bulan Biru: Komen sepintas lalu (YM)
Mrs.Sheikh
salam...saya dah dapatkan odisi bulan biru.. terpaku seketika kerna bahasa dan betul ..karya kali ini sangat "sesuatu" tahniah encik john!!!
salam...saya dah dapatkan odisi bulan biru.. terpaku seketika kerna bahasa dan betul ..karya kali ini sangat "sesuatu" tahniah encik john!!!
Labels: odisi bulan biru
Monday, March 16, 2009
ODISI BULAN BIRU: Promosi JEMARI SENI

Buletin Bulan Mac 2009
Salam buat adik-adik yang dikasihi,
Kak Nila dan Kak Ajah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kerana masih setia menjadi pembaca Jemari Seni Publishing...
JS sekarang ini sibuk sangat dengan persiapan untuk Pesta Buku Antarabangsa KL yang sudah mula terasa bahangnya. Beberapa buku baharu insya-Allah sudah ‘berbaris’ di tempat pencetak. Nanti JS akan hebahkan tentang hal itu di buletin-buletin akan datang ya.
Menerbitkan novel berbahasa Melayu memanglah banyak cabaran. Ramai juga yang ‘mendakwa’ mereka suka membaca novel berbahasa Inggeris. Namun, sekiranya seseorang itu cuba membaca novel Melayu – dia pasti akan jatuh hati dengan novel bahasa Melayu. Novel Melayu lebih dekat dengan kita, kerana... daripada bahasanya, jati diri kita sebagai orang Melayu dibina. Bak kata Datuk Laksamana Hang Tuah: Takkan Melayu Hilang di Dunia....
Sewaktu menyaksikan bantahan pada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Kak Nila jadi teringat pada Saudara John Norafizan (walaupun namanya ada John, beliau menulis dalam bahasa Melayu tau). Beliau ialah contoh profil mereka yang belajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu, kemudian beliau ke luar negara menjadi jurutera, langsung kemudiannya menjadi penulis novel berbahasa Melayu. Alhamdulillah.
Apabila tiba waktunya beliau terpaksa bertutur dalam bahasa Inggeris kerana urusan kerja... fuyoo... English dia berabuk, kita pun tak tahu bahawa yang sedang bicara tu, bahasa ibundanya ialah bahasa Melayu. Kita sudah tak kenal pun, dia hanyalah John Norafizan yang belajar bahasa Melayu sejak tadika sampailah ke tingkatan lima J
Okey, okey... tak nak cakap banyak... sebenarnya nak perkenalkan buku baharu John Norafizan yang sudah ada di pasaran ni saja....
Odisi Bulan Biru
ISBN:978-967-5118-15-9
Harga:M20.00
Harga pembelian melalui pos: RM18 (mulai 10 Mac 2009)
* * *
JOHN NORAFIZAN kembali membawa anda mengembara bersamanya meneroka keindahan bumi Jepun dan Turki.
Kata ibu, zaman dulu hanya perawan-perawan sahaja yang dibenarkan memetik bunga-bunga saf. Sekiranya jari mereka terluka, darah merah sang perawan akan menyerap masuk ke kelopak bunga kuning itu. Kononnya, darah inilah yang membuatkan kelopak-kelopak bunga saf bertukar merah apabila dijemur dan dikeringkan nanti!
Kini ibu tiada lagi untuk bercerita. Ibu dan adiknya yang cacat mati lemas di Sungai Sorachi. Sedih dan sesal membalutinya sepanjang waktu. Mujurlah pertemuan dengan seorang darwis yang bijaksana mengubah seluruh hidupnya. Pertemuan yang memulakan sebuah pengembaraan mencari ayah yang bersedih, sekali gus dirinya sendiri. Dapatkah dia menemui apa yang dicarinya itu?
Katanya....
Jika tidak kerana Qistina, aku tidak tahu apakah maksud kehidupan ini.
Jika tidak kerana Qistina, mungkin aku masih dalam sangsi.
Qistina yang misteri. Qistina yang penuh dengan seribu teka-teki.
Teka teki apakah itu hingga menyebabkan dia sanggup menempuh seribu misteri dan melintasi Selat Bosporus? Dan siapa pula Qistina di hatinya?
Sebuah roman pengembaraan dalam bentur keras hakikat kehidupan disulami iri dan dendam: antara ‘sang pencari’ dan ‘yang mencari’.
* * * *
Kenapa pilih nama John Norafizan? Apa pendapat John Norafizan dengan pernyataan yang ‘nama pena lelaki akan membuat pembaca tidak tertarik untuk membeli?’
Nama itu ialah nama pena ketika berada dalam yahoogroups, jadi dalam ‘keterpaksaan’ dan ‘kerterbetulan’ ia terus digunakan sehingga novel pertama saya terbit. Cerita yang lebih panjang, ‘biarlah rahsia’. Memang benar trend di Malaysia lebih kepada penulis dengan nama pena perempuan. Cuma satu atau dua orang sahaja yang menggunakan nama pena lelaki berjaya menarik perhatian pembaca. Tetapi pada saya, apa yang cuba dipersembahkan dalam sesebuah karya, lebih penting daripada penggunaan nama pena itu sendiri. Nama pena cuma satu selaput yang menutupi isi buahnya. Sama ada manis atau pahit, itulah yang paling penting.
Kenapa Saudara John Norafizan memilih cerita-cerita berunsur pengembaraan untuk novel-novel yang diterbitkan di Jemari Seni Publishing?
Secara jujurnya, saya tidak pernah menyasarkan konsep genre novel pengembaraan sewaktu menulis. Ia terbentuk secara bawah sedar. Tetapi secara teorinya, cerita pengembaraan mudah menangkap imaginasi pembaca untuk sama-sama terawang dalam plot penceritaan itu sendiri. Jadi, mungkin kerana itu saya memilihnya (secara bawah sedar!).
Sebagai penulis apakah tanggungjawab sosial John Norafizan dalam cerita-cerita genre pengembaraan begini?
Ketika menulis, saya cuma punya dua niat, menjadikan karya saya sebagai ibadah dan meletakkan bahasa Melayu di tempat yang tinggi sekali. Saya juga berharap agar pembaca-pembaca novel saya dapat mengambil teladan dan iktibar daripada cerita yang saya persembahkan itu.
Apakah kekuatan Odisi Bulan Biru berbanding karya yang terdahulu, iaitu Garis-Garis De Javu, mahupun novel-novel awal John Norafizan?
Odisi Bulan Biru adalah satu karya eksperimentasi dengan gaya penulisan baharu. Gaya sebegini sudah biasa digunakan di luar negara. Ia memberikan definisi baharu dalam penceritaan karya saya berbanding novel terdahulu. Sudah tentu novel ini dan novel-novel terdahulu punya kekuatan yang tersendiri. Tetapi secara metafora, ia boleh diandaikan sebegini: Garis-Garis Deja Vu seperti melihat api yang terbakar di suatu gurun daripada jauh. Odisi Bulan Biru pula seperti berada dalam genggaman nyala api itu sendiri.
Karya John Norafizan dianggap sukar difahami kerana menggunakan bahasa bersurat? Apa komen John Norafizan?
Sebenarnya ia bukan sukar difahami tetapi saya menulis dalam strata penulisan berlapis. Banyak maksud dan teladan yang boleh ditemui oleh pembaca mengikut interpretasi masing-masing. Saya suka melihat karya saya bila dibaca kali kedua memberikan pemahaman yang berbeza berbanding pembacaan kali pertama. Dan kepuasan yang tidak terhingga. Lagipun, bahasa Melayu adalah bahasa indah dan berlagu. Dan saya seberapa boleh, dengan kudrat saya, cuba memberikan justifikasi terbaik pada bahasa yang saya sayangi ini
Apakah harapan yang John Norafizan letakkan untuk novel Odisi Bulan Biru ini?
Odisi Bulan Biru mungkin berlainan daripada novel-novel terdahulu, tetapi ia adalah novel yang paling saya ‘sayangi’. Ia penuh dengan pengembaraan yang mendebarkan dan metafora hidup. Saya berharap pembaca juga akan dapat berkongsi sama dengan rasa yang saya temui sewaktu menulis novel ini dahulu.
Apakah yang mencetuskan John Norafizan memilih Jepun dan Turki sebagai latar cerita kali ini?
Sebenarnya inspirasi saya tercetus setelah membaca karya Rynsa (RADHA) yang menggamit hati tentang pelajar-pelajar Malaysia di Jepun (tersenyum). Kerana itu Jepun (dan Turki) dipilih. Lagipun, saya mahu mengabadikan latar yang lain pula berbanding novel-novel terdahulu.
Selepas Odisi Bulan Biru, apakah novel seterusnya? Masih dalam genre pengembaraan?
Oh! Novel seterusnya adalah satu novel yang indah dan lain daripada Odisi Bulan Biru. Bukan juga cerita pengembaraan (mungkin!!). Tajuknya juga sudah ada (tetapi tidak boleh diberitahu seandainya nanti pihak JS mahu buat kuiz teka nama tajuk novel!!! Tetapi biarlah ia disimpan dahulu sehingga tiba waktunya. Buat masa ini, debar menunggu reaksi pembaca tentang Odisi Bulan Biru masih belum reda lagi!
Okey, Kak Nila undur diri dulu... eh, eh sebelum tu nak tanya, nak beri jawapan untuk Teka Novel II tu? Tarikh tutupnya dah semakin hampir la.
Salam takzim.
Tuesday, March 10, 2009
Odisi Bulan Biru sudah berada di pasaran (secara online dahulu!!)

ANDA SUDAH BOLEH MENDAPATKANNYA MELALUI JUALAN ONLINE - PENGHANTARAN PERCUMA MULAI SEPULUH MAC.. KLIK DISINI
Ini adalah kisah meta-fiksyen. Ceritera takdir sebelum bertemu Qistina yang manis. Qistina dengan seribu misteri. Sebelum mimpi jadi igauan berduri lalu keluar daripada tidur dan memburu dalam jaga yang ngeri.
Bagaimana?
Bagaimana engkau dapat mengembalikan semula kehidupan lalu yang telah musnah? Bagaimana engkau dapat meneruskan kehidupan yang baharu? Bila mana dalam hati engkau tahu bahawa tidak ada lagi jalan untuk berpatah balik. Kerana di situ ada luka yang tidak dapat disembuhkan. Kepiluan yang tidak dapat diubati lagi.
Atau adakah nama Tuhan yang keseratus dapat mengubah segala-galanya?
P/S: Naskhah di kedai-kedai buku mungkin mengambil masa sedikit


