SINOPSIS KULIT BELAKANG:

Hidup tidak semudah yang dijangkakan. Dia tidak pernah menceritakan kepada dunia tentang pedih lukanya hidup pada zaman kanak-kanak. Tentang nostalgia silamnya yang berdarah. Tentang harga sebuah kebencian yang akhirnya menjadikan dia seorang pelarian. Betapa dia bahagia di sini... Putih salji telah menyaksikan tingginya nilai persahabatan, keikhlasan yang muncul di celah-celah kuntuman tulip segar. Dia bahagia tatkala melihat guguran daun yang memenuhi jalanan kerana pabila musim panas muncul, segala-galanya kembali nyata. Cintanya jua berputik di sini... mekar bersama musim yang silih berganti... Lantas dia alpa pada duri-duri yang menanti, pada duka dan sengsara yang cuba dihindari... pada petaka yang menjadikan dia hilang hakikat diri...
PROMO DIALOG DAN PERENGGAN

“...cinta bukan satu paksaan. Memaksa orang untuk membuat apa yang kita mahu bukannya satu cinta, tapi perjanjian yang mengikat kebebasan. Tapi mencintai orang yang tak mahu mencintai kita juga bukan satu kesalahan. Kita tak jatuh cinta dengan orang tu dengan syarat orang tu mesti mencintai kita. Jadi kenapa kita perlu takut untuk jatuh cinta?” (m/s 173)

MANCHESTER (Taman Picadilly)
Dinihari ini, Lantai tanah penuh dengan salji memutih,
Dingin yang membeku, Kau bakar dengan panas sinar mata mu,
Dan hati ku mencair di dalam mu...

MERSING (Pelabuhan jeti lama, Ayer Puteri)
Terbang bagai burung, merentas angin di pantai sepi,
Mengejar mentari pagi,
Hingga terlupa luka di hati... (m/s 110 dan 111)

" Cinta bukan paksaan...tapi mencintai orang yang tidak mahu mencintai kita juga bukan satu kesalahan. Kita tak jatuh cinta dengan orang itu dengan syarat orang itu mesti mencintai kita. Jadi, kenapa kita perlu takut untuk jatuh cinta ?"

" Ada lagi cinta yang lebih suci daripada cinta sesama manusia. Cuma kita kadang-kadang terlupa dan tak mahu mengakuinya."
ULASAN/REVIEW:

Tiga minggu lalu, ketika John Norafizan meminta saya melakarkan seberkas prebiu untuk novel sulungnya 'Sempadan Tanpa Seri (STS)', saya terus menerima tanpa memikirkan sebarang consequences nya ataupun sama ada saya sebenarnya mampu melakukannya.
Dua malam lepas saya cuba menelaah STS sekali lagi, dan kali ini saya cuba benar-benar menyelami kolam rasa setiap watak utama novel tersebut --- Asnawi, Zalina, Elizabeth, Misa Idzwan, Benjamin dan Zainab. Saya cuba merasakan apa yang mereka rasa, seiring segala dilema, tawa, tangis, resah dan rindu mereka yang bercampur baur memadu suatu epik kontemporari dua benua ini.

Struktur dan Plot
Sebelum kita berhijrah pada apresiasi yang lebih kompleks, ingin saya nyatakan bahawa ada 2 perkara yang menarik perhatian saya bila berbicara tentang struktur dan plot STS. Saya masih ingat kata-kata Sasterawan Negara Datuk Dr A. Samad Said ketika berpeluang mendahar dengan beliau tak lama dahulu --- "Dalam penceritaan sesebuah novel, penulis seharusnya bijak 'membawa' pembaca 'masuk' ke dalam sesuatu kancah atau scene".
Maksudnya, jika kita merekacipta setting di mana watak-watak tersebut sedang berbicara dalam sebuah bilik, bukan sahaja tutur dialog para watak yang harus ditekankan, malah DESKRIPSI persekitaran di mana perbualan tersebut berlangsung. Deskripsi persekitaran yang jelas dan terang memungkinkan pembaca seolah terserap masuk antara bait-bait ayat dan prosa novel tersebut... seperti mana Mary Poppins membawa anak-anak majikannya masuk mengembara di dalam sebuah lukisan.
Dalam konteks STS, penceritaan deskripsi bandar Manchester dan University of Salford yang dilakukan John Norafizan digarap dengan begitu detail sekali... bukan setakat tunjuk arah kubah-kubah bangunan di kiri kanan, namun hingga pembaca dihadapkan dengan 'jangka waktu' jarak sesuatu tempat ke tempat yang lain!!! Walaupun Manchester boleh dikatakan 'rumah kedua' ketika saya menuntut di UK dahulu, namun daya ingatan saya terhadap persekitaran bandar tersebut adalah amat terhad, apa lagi setelah lebih 10 tahun meninggalkan bumi UK. Deskripsi detail yang dilakukan John sebenarnya telah menyelak kembali beberapa gigabyte memori yang terperuk dalam serebrum dan serebelum minda.
Keduanya, jika diamati pertuturan dialog antara watak-watak novel ini, sedar atau tidak, John Norafizan sebenarnya banyak menggunakan wit yang lazimnya di dapati dalam pertuturan Bahasa Inggeris. Bukan mudah untuk menterjemahkan sesuatu wit ke Bahasa Kebangsaan tanpa menghilangkan maksudnya, tapi John berjaya melakukannya dengan baik, terutamanya dalam dialog Asnawi ketika berinteraksi dengan watak-watak 'Mat Salleh' seperti Elizabeth, Ian dan Jonathan.
Ketiga, saya tertarik dengan percubaan John yang tidak hipokrit dalam 'menterjemahkan' segala pertuturan antara watak-watak 'Mat Salleh' tadi terus ke Bahasa Malaysia. Banyak penulis novel-novel Melayu yang cenderung menggunakan dialog Bahasa Inggeris dalam pertuturan antara watak, kononnya untuk menggambarkan 'cara hidup' orang kota, yuppies dan golongan elit --- namun segala tatabahasa dan tatacaranyya boleh dipertikaikan dan mungkin menggambarkan limitations penguasaan vocabulary dan grammar penulis itu sendiri! Tapi John, walau dengan penguasaan Bahasa Inggerisnya yang amat baik (dengan tutur slanga British beliau yang saya pun tak reti nak tiru!!!), beliau tetap cenderung menggunakan Bahasa Malaysia dalam sebarang tutur dialog. Untuk ini, saya tabik spring!!!

Secara keseluruhannya, John Norafizan berjaya menggarap STS setanding atau mungkin melebihi penulis-penulis novel Melayu yang sedia ada. Mengambil kira hakikat bahawa Jurutera Muda ini seperti katanya "tidak pernah terlintas menjadi penulis apatah lagi menulis dalam Bahasa Malaysia"; saya kira STS merupakan satu lagi pembuktian bahawa setiap manusia mempunyai bakat tersembunyi yang mungkin belum dicungkil keluar. Seringkali ia memerlukan secangkir inspirasi dari sumber lain.

Dan sekiranya benar kata-kata John yang meletakkan saya dan "Hidup Di Luar Negeri (HDLN)" sebagai inspirasi beliau --- saya amat terharu, berterima kasih dan amat berbangga dengan pencapaian sulung beliau ini. Remember John, from now on --- the only way is UP!!!!
Sepucuk Surat Cinta
"Elizabeth, saya tak tahu untuk meluahkan perasaan cinta dan saya tidak tahu apakah ini cinta? Kalau inilah cinta, saya akan menyesal seumur hidup saya jika saya tak melakukannya....... (Setelah cincin lamaran diserahkan)....Saya takkan menyesal seumur hidup saya kerana saya dah melakukannya hari ini. Elizabeth, saya betul-betul cintakan awak" - Asnawi (STS, ms. 279-280)

STS merupakan satu nas terhadap keagungan Qada' dan Qadar Illahi. Pengalaman dan cinta Puan Zainab, ibu Asnawi di Mersing sekitar tahun 1970an seakan menjadi 'dosa warisan' atau curse yang terlempar pada Asnawi hingga memutikkan luka di Prestwich. Luka tragis yang dialami Asnawi kerana wasilah hakiki beliau dengan Elizabeth/Fatimah sebenarnya merupakan hikmah yang menemukan Asnawi dengan Rama beliau yang sebenarnya.

Tanpa asosiasi Benjamin-Zainab, mungkin tiadalah Asnawi. Dalam ratusan kota universiti di Britain, Asnawi terlempar ke Manchester. Tanpa siksaan dan deraan yang dialami Asnawi di Malaysia, mungkin beliau tidak akan terlintas bersama Ian dan Jonathan. Tanpa basikal Zalina yang kecurian di Prestwich mungkin daun pintu rumah Asnawi tidak diketuk. Tanpa mengenali Ian yang cuba mengayat seorang gadis ahli gereja, mungkin kes Misa Idzwan tidak diketahui. Universiti Salford menjadi taman ilmu, kenapa tidak Manchester Metropolitan Uni atau Manchester University sendiri? Dan tanpa perpustakaan Universiti, Asnawi mungkin tidak akan bertemu Elizabeth. Dan jika tidak bertemu Elizabeth, masakan Benjamin kembali semula ke pusingan kehidupan watak-watak STS....

Begitulah juga seperti kita yang bertemu dan menemukan ribuan insan dalam hidup kita. Dalam ribuan manusia itu, pada satu detik dan pada satu tempat, kita akan ditemukan dengan SESEORANG. Pertemuan itu mungkin tidak mempunyai sebarang makna, dan mungkin juga ia akan bertukar menjadi keakraban. Dan mungkin dalam keakraban itu, bibit-bibit cinta akan mula melakar warna indahnya di dalam hati --- baik dalam hati kita semata dan mungkin juga lakaran tersebut akan terpalit ke hati orang yang ditemui juga.

Acapkalinya kita sering berharap agar lakaran cinta tersebut akhirnya akan dibingkaikan dalam suatu bandela perkahwinan. Seolah-olah itu adalah destini akhir kita, yang perlu kita bermati-matian merealisasikannya. Setiap dari kita inginkan sesorang yang boleh kita gelar 'teman' merangkap suatu cinta yang dikatakan 'di akhir garisan'. Dengan izin Allah, kita mahu hidup dan mati bersama beliau. Kita mahu menghirup udara yang dihirup beliau. Menangis dan ketawa bersama. Berkongsi hidup dan menyambung zuriat generasi beranak pinak turun temurun.

Namun adakah 'cinta di akhir garisan' ini benar-benar wujud? Rasanya tidak. Saya percaya manusia akan terus bertemu dan ditemukan dengan satu cinta berbaris biur dengan cinta yang lain hinggalah keseluruhan cintaan tersebut berbaur damping ke arah menemukan kita dengan cinta yang hakiki.

Segala rasa hati yang terbit dari mana-mana pertemuan (yang mungkin kemudiannya berevolusi menjadi rasa agung yang mencengkam mewarnai hidup) sebenarnya adalah dariNya jua, yang telah menentukan jalan hidup kita untuk mengenali Dia Yang Satu.

Oleh yang demikian, saya percaya bahawa kita seharusnya menghargai setiap pertemuan yang telah didetikkan Ilahi, walaupun pertemuan tersebut mampu menzahirkan rasa cinta yang mungkin menggelisahkan. Janganlah dibohongi hati sendiri jika kita benar-benar menyintai seseorang. Kerana dengan memendam rasa, kita mungkin tidak akan tahu bagaimanakah Alur Jalan kita mengenal Pencipta itu akan melungsuri dengan cinta tersebut. Kita tidak akan tahu apakah surprise dan kekaguman yang mungkin dikecapi dengan beliau dalam bersama membawa kita dan dia mengagumi Dia.
Kita perlu berani dan jujur pada hati untuk merentasi segala jurang dan menempuh segala risiko yang mungkin timbul dari sesuatu cinta itu. Jika kita TAKUT, maknanya kita juga TAKUT dan tidak redha dengan ketentuan Maha Esa yang telah mendetikkan pertemuan kita dan dia pada awalnya.

Namun perkahwinan bukanlah titik akhir bagi mana-mana aungan cinta --- ia hanyalah 'means' dan bukannya 'end'. Mutakkhirnya ialah Yang Maha Esa jua.

"Mengapa dalam hidup ini orang yang dicintai tidak memberikan apa-apa reaksi dan orang yang tidak dicintai memuja kita bagaikan seorang ratu? Adakah cinta sejati sebenarnya cinta yang tidak pernah bersatu? Jika tidak, mana mungkin Shah Jahan membina Taj Mahal untuk Mumtaznya, mana mungkin Qais akan merana kerana Lailanya dan mana mungkin Romeo juga sanggup mati untuk Julietnya!" - monolog Zalina Dato' Mansor (STS, ms. 156)

Dan mungkin juga monolog Zalina itu terpancar izhar kebenarannya....

Syabas sekali lagi untuk John dan STS. Untuk yang belum memilikinya, jangan lengah lagi... kerana wallahualam, mungkin STS ini juga merupakan antara subset yang akan membawa anda semakin hampir ke suatu pertemuan abadi...

Wassalam.

Asrul Muzaffar Mohammed

Pentadbir - Bandar Utopia

http://groups.yahoo.com/group/bandarutopia
terbitan Creative Enterprise 2003
tebal: 389 ms
harga: RM 20.90
KE LAMAN UTAMA
KE BLOG RASMI
KE LAMAN UTAMA
KE BLOG RASMI