SINOPSIS KULIT BELAKANG:

Dia wanita tabah. Dia isteri yang merindui masa silamnya. Dan dia juga seorang ibu yang cuba menyayangi anak tunggalnya walau dalam derita. Tetapi musim bunga berlalu dengan cerita sendu yang sukar diubati. kepedihan masa silam membuatkan dia terjatuh dan tidak mampu berdiri lagi. Lalu adakah kedatangan seorang lelaki penuh misteri dan rahsia lama yang tersembunyi mampu mengubati hati wanitanya? Atau biar saja cinta berlalu di dalam kepasrahan sehingga takdir menemukan kebahagiaan semula?

Di antara dua lelaki, di antara kasih ibu yang kecundang, di antara persahabatan yang teruji dan di antara ketakwaan kepada Yang Esa, dia tidak tahu di manakah dahan buat berpaut dan bumi untuk berpijak. Yang ada cuma kepedihan. Yang ada hanya impian yang pudar. Dan jalan yang berduri buat insan bernama Jeslina...
PROMO DIALOG DAN PERENGGAN

Empat musim datang dan empat musim telah pergi. Cuma seorang Asnawi masih lagi di sini. Menanti cinta di tebing sungai yang mengalir lesu. Menangis dalam diam yang pilu. Tidak ada sesiapa kecuali dia, sungai lesu dan alam yang terlalu sepi itu.
Dia tahu orang yang paling dicintainya tidak akan datang lagi buat menenangkan jiwanya yang gundah. Tetapi dia akan tetap di situ. Membiarkan air matanya jatuh ke dasar sungai biar menjadi batu-batu kerikil tajam yang akan di bawa arus terus ke lautan lepas agar cintanya dapat dilupakan.
Tetapi dia tahu dia tidak akan dapat melupakan cintanya. Cintanya pasti tetap ada di dalam dirinya. Seperti sungai itu yang akan tetap ada di situ buat selama-lamanya. Cintanya juga begitu. Rindunya juga. Dan kesedihannya. Dan nama itu. (m/s273)

Di tempat kita duduk inilah, ada orang pernah memberitahu saya bahawa kehidupan harus diteruskan.....Katanya..awak tak boleh bermimpi rindu selalu. Kerana nanti malammu akan jadi penasaran dan terluka. ...Awak tak boleh selalu bernyanyi rindu selalu. Kerana nyanyian rindu adalah bunga semusim dan kadangkala gugur sebelum waktunya.

Dan musim panas pun hilang,
Dalam sendu,
Musim luruh datang dan kenangan berguguran
Mencari sebuah rindu yang mendingin.....
Di dalam kelam,
Tunjukkan satu bintang buat penyeri kehidupan...

Musim dingin yang layu,
Kau kunci aku di dalam hatimu,
Dan, salji pun berguguran,
Bersama aku di dalamnya.

Engkau telah tunjukkan aku satu bintang buat menyinar hidup aku selama-lamanya. Engkaulah bintang itu. Aku benar-benar mencintaimu....
ULASAN/REVIEW:

Saya teruja untuk membaca Tunjukkan Aku Satu Bintang setelah mendapat banyak komen positif dari pembaca-pembaca yang terlebih dahulu mendapatkan naskhah pra-cetak novel ini di Pesta Buku tempoh hari. Tunjukkan Aku Satu Bintang adalah sebenarnya sequel kepada novel Sempadan Tanpa Seri karya sulung John Norafizan yang diterbitkan tidak lama dulu. Saya lebih suka menyarankan supaya pembaca mendapatkan dahulu Sempadan Tanpa Seri sebelum membaca Tunjukkan Aku Satu Bintang supaya pembaca lebih memahami perjalanan cerita Tunjukkan Aku Satu Bintang. Jikalau tidak, pastinya pembaca akan dihujani perasaan keliru dengan plotnya yang agak kompleks dan memerlukan pembacanya mencari jawapan di sebalik rentetan peristiwa yang berlaku dalam novel ini.

Untuk membaca Tunjukkan Aku Satu Bintang, pembaca harus mempunyai fikiran yang terbuka kerana dalam karyanya kali ini, John mencipta satu perspektif tentang satu sudut kehidupan yang jarang-jarang dikupas oleh kebanyakan novelis Melayu. Ini adalah kerana, seperti Sempadan Tanpa Seri, plot TASB digarap menjangkaui plot tipikal yang sering digunakan oleh kebanyakan novelis Melayu, malah plot ini juga lain dari yang lain.

Tunjukkan Aku Satu Bintang juga sekali lagi membawa pembaca kembali ke Manchester ( latar belakang dalam Sempadan Tanpa Seri ) namun kali ini John membawa pembaca menjenguk satu kehidupan yang berbeza - seorang wanita Melayu di bandar Manchester yang bertarung nyawa dan pegangan hidup serta agamanya untuk membesarkan anaknya yang dilahirkan hasil kacukan Inggeris-Melayu, Daniel Parker. Watak Asnawi dalam Sempadan Tanpa Seri dihidupkan kembali dalam Tunjukkan Aku Satu Bintang untuk menyimpulkan satu kisah cinta terlarang yang berlaku sepuluh tahun yang lalu. Walau lama tidak muncul dengan novel baru, John masih mengekalkan gaya penulisannya tersendiri dalam Tunjukkan Aku Satu Bintang seperti mana dalam Sempadan Tanpa Seri.

Membaca Tunjukkan Aku Satu Bintang adalah seperti menaiki sebuah roller-coaster yang berjalan merentasi pelantar kayu yang berbelit-belit. Ada rasa sedih, gembira, cemas dan tertanya-tanya. Garapan unik John dalam Tunjukkan Aku Satu Bintang tidak kurang hebatnya seperti Sempadan Tanpa Seri. Yang pasti, gaya tulisan John mampu menarik pembaca "melekat" untuk terus mengetahui kesudahan Tunjukkan Aku Satu Bintang.

Syabas John atas satu karya yang unik ! Lain dari yang lain! Saya suka Tunjukkan Aku Satu Bintang! Satu bintang yang terserlah di celah lambakan novel-novel Melayu di pasaran. Bagi yang gemarkan Rahsia Perindu, dapatkan Tunjukkan Aku Satu Bintang .

Rating: ****1/2 ( Memang best dijadikan koleksi peribadi- Plot kompleks yang lain dari lain) Sempadan Tanpa Seri,
Fana dalam mencari diri...
Tunjukkan Aku Satu Bintang,
Buat mewarna sesuatu yang telah hilang...

Carrie Kirana
terbitan Creative Enterprise 2005
tebal: 720 ms
harga: RM 29.90
NOVEL TERBAIK CREATIVE 2005
KE LAMAN UTAMA
KE BLOG RASMI
KE LAMAN UTAMA
KE BLOG RASMI