ULASAN/REVIEW:
novel yang berjudul ‘cinderella cinta’ ini adalah novel ketiga beliau. aku sudah pun membaca kedua-dua novel terdahulu beliau iatu, ’sempadan tanpa seri’ dan ‘tunjukkan satu bintang’ yang merupakan dua novel yang bergandingan antara satu sama lain. pada mulanya aku berfikir, apakah JN mahu menyiapkan satu trilogi tentang jalan cerita yang sama? adakah ada lanjutan tentang watak asnawi yang hidupnya dihabiskan di manchester dengan cinta-cinta yang pernah hinggap di dalam hidupnya. siapakah cinderella asnawi kali ini yang bisa mengetarkan jiwa asnawi yang tabah itu?
rupa-rupanya asnawi dalam novel terbaru inicuma jadi watak tambahan sahaja, bersama anak tirinya daniel. maaf, aku kira lebih sesuai aku katakan, penampilannya sekadar cuma penampilan cameo sahaja. di dalam novel ini, watak utamanya adalah Lara Mia, seorang gadis kacukan melayu-inggeris yang sedang memburu cinta hatinya, Edri yang telah menghilang entah ke mana. di masa yang sama, ada Victor Adam, yang memuja Lara Mia sejak dari kecil, berusaha memujuknya menjadi suri hatinya. dalam perjalanan jauh pencariannya itu, pemburuan cinta ini telah membawa Lara Mia dan Victor Adam jauh dari kota manchester, dan terbang ke khalkot, pakistan dan seterusnya berakhir di johor bahru. jika kamu mahu tahu tentang ringkasan cerita novel ini, kalian boleh sahaja pergi ke laman blog JN sendiri dan cuba mendapatkan gambaran atas apa yang dapat kamu perolehi bila membaca novel berkenaan. di sini, aku cuma ingin mengulas tentang apa yang aku rasakan sejak usai membaca novel ini.
‘cinderella cinta’ ini agak istimewa pada firasatku. tidak banyak penulis lelaki yang berjaya menulis dan menghidupkan watak utama iaitu seorang wanita dalam novelnya. aku pernah membaca beberapa novel sebegini dahulu, tetapi ternyata penulis lelaki selalunya gagal dalam memperhalusi watak utama wanita dalam novel mereka. tapi JN berjaya melintasi halangan ini. kamu mahu tahu kenapa aku ikuti perkembangan penulisan JN sejak dahulu? aku tertarik gaya penulisan monolognya dan permainan ‘fikiran dan perasaan’ yang menjadi trademark dalam penulisannya. JN juga mengamal kelainan, yang lari dari kebiasaan dalam novel-novel di luar sana. seperti mana ruby hazri dengan latarbelakang Jerman dalam ‘percayalah’, JN boleh membawa pembacanya menyusuri setiap lorong di kota manchester. mungkin pengalamannya di sana membuatkan kita dapat ‘menjelajahi’ kota itu secara maya dari novelnya itu. dan kali ini juga, dia turut mengheretkita ke gurun di pakistan yang kering, panas dan berdebu. untuk pengetahuan kalian, aku sudah bertanya pada JN sendiri, adakah dia pernah ke khalkot. kerana dari penulisannya, seolah-olah seperti dia pernah di sana. yg memeranjatkan, dia mengatakan, yang dia tidak pernah langsung menjejakkan kaki di bumi pakistan! inilah yang aku katakan kreativiti penulis. hanya membuat rujukan pada bahan-bahan multimedia, dia boleh bercerita dan menyatakan dengan jelas satu tempat yang tidak pernah dia lewati langsung!
untuk sesiapa yang masih belum pernah membaca sebarang novel JN, mungkin kamu boleh mulakan dengan membaca novel ‘cinderella cinta’ ini dahulu. lupakan dulu tentang 2 novel karyaan JN yg terdahulu. kerana rasanya, sebuah kisah cinta dan kehidupan seorang anak muda yang termuat dalam 2 novel berasingan pasti sekali boleh membuat kamu rasa terbeban. dan ada satu ingatan untuk yang ingin membaca ‘cinderella cinta’. JN seperti novel-novelnya sebelum ini, bukan hanya pandai membuai jiwa kamu dengan perasaan cinta tetapi karyanya pasti ada kejutan yang selalunya akan dileraikan di penghujung novelnya. pada bab-bab awal, aku mengambil masa juga untuk mencari momentum untuk terus membaca. menjelang pertengahan cerita, aku sudah rasa keresahan dengan kedegilan Lara Mia yang begitu keras pendiriannya. aku sering memikirkan kebebalan Lara Mia yang berdiri tegak mempertahankan apa yang dia rasa. tetapi sebaik sahaja wujud watak-watak pembantu di bumi pakistan, yg mulai mempengaruhi kehidupan Lara Mia, bermulalah satu keasyikan. dan aku mulai tidak keruan untuk menghabiskan novel ini sepantas mungkin.
agak berlebihan ulasan aku kali ini, kan? ada kekuatan dalam novel ini yang harus aku suarakan. aku merasakan kepuasan bila aku mengakhiri pembacaanku kali ini. memang aku sudah nantikan kemunculan novel terbaru JN ini sejak tamat membaca ‘tunjukkan aku satu bintang’. ternyata penantian itu berbaloi. dan entah berapa lama lagi, harus aku tunggu kemunculan novel keempat tapi aku berharap JN dapat menentukan untuk masa akan datang, pengembaraan cintanya harus lebih hebat dari 3 novel yang ada! aku mahukan pengembaraan cinta yang lebih menguja fikiranku!