Monday, August 4, 2008

Kasta

Pesta buku Selangor baru-baru ini menemukan aku dengan beberapa penulis. Aku kira, inilah dunia kami, dan satu-satunya peluang untuk mengenal antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi. Di luar sana, kami mungkin tidak kenal antara satu sama lain. Tapi di pesta buku, kami seperti ahli keluarga rapat yang hanya sempat bertemu dalam keraian setahun sekali.

Banyak yang kami bualkan. Dan sudah tentu salah satunya adalah senario dunia penulisan tanah air.

Ah! Dunia penulisan sastera Melayu di Malaysia terlalu banyak pancarobanya. Terlalu banyak kasta dan paria sehingga kadangkala aku sendiri takut untuk menulis.

Jika engkau hendak tahu, di Malaysia ini, penulis itu terbahagi kepada dua; penulis kelas atasan dan penulis picisan. Penulis atasan ini adalah mereka yang kononnya pihak yang benar-benar memperjuangkan sastera. Pihak yang kononnya adalah pengkarya seni yang tulen. Pihak yang harus disanjung dalam majlis-majlis formal sastera sebenar. Pihak yang harus dipanggil bila ada diskusi-diskusi memperkatakan tentang sastera di Malaysia.

Satu lagi pihak adalah penulis paria. Penulis yang menulis dan diterbitkan oleh penerbit-penerbit yang bukan daripada DBP atau penerbit (yang juga kononnya) adalah penerbit yang hanya menerbitkan buku-buku sastera sejati sahaja. Dipendekkan cerita, setiap buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit yang telah ditandakan sebagai penerbit karya popular kreatif adalah buku-buku picisan dan setiap penulis yang bernaung di bawahnya juga adalah penulis-penulis paria!

Mungkin soalan yang perlu diberi perhatian kepada penulis-penulis baru adalah: adakah kamu mahu menjadi penulis sastera sebenar atau sekadar penulis paria? Kalau tidak mahu dipanggil penulis paria, jangan terbitkan karya anda dengan penerbit-penerbit popular masa kini! Nanti buku kamu akan dipanggil sebagai buku picisan!

Maaf, aku sekadar berjenaka. Apa yang aku mahu katakan adalah BULLSHIT semuanya.

Pada aku, tidak ada segregasi kasta yang menghinakan itu. Yang ada hanyalah pihak-pihak yang tidak mahu mengakui bahawa sesetengah karya yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit kreatif/popular adalah lebih baik dan punya nilai sastera daripada buku-buku yang diterbitkan oleh ‘penerbit-penerbit’ sastera.

Aku kira, melonggokkan semua-semua buku yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit buku popular/kreatif sebagai karya picisan adalah tidak adil sama sekali. Seperti melabelkan barang-barang yang dibeli di kedai kecil Pak Abu sebagai tidak standard dibandingkan dengan barang-barang yang dibeli di pasar raya- pasar raya terkemuka.

Entah aku tidak tahu, tetapi mungkin inilah sebenarnya nanah busuk yang melanda dunia penulisan kita. Masyarakat penulis yang bercakaran semata-mata kerana mahu mengekalkan kepentingan masing-masing. Aku cuma takut suatu masa nanti, masyarakat di luar akan hilang kepercayaan dengan dunia penulisan di Malaysia. Seperti pemimpin-pemimpin kita yang bercakaran dan membuat plot-plot busuk untuk mengekalkan kekuasaan, rakyat telah jelak dan bosan.

Tetapi mungkin kita di Malaysia ini masih punya mentaliti budaya kasta yang terlalu kuat. Kerana itu, sukar untuk menerima sesuatu yang ‘terkeluar dari kotak empat segi’ yang jumud.

Sepatutnya, semua orang harus bekerjasama dan duduk semeja bagi memikirkan cara agar budaya membaca di kalangan masyarakat dapat dipertingkatkan lagi. Bagaimana orang Malaysia boleh menjadi masyarakat membaca kelas pertama seperti di Jepun dan Eropah. Bagaimana kita pula, sebagai pengkarya (termasuk penulis dan penerbit dan semua orang yang berkecimpung dalam dunia penulisan), dapat memartabatkan lagi dunia penulisan tanah air supaya masyarakat antarabangsa membuka mata dengan karya-karya penulis kita. Bagaimana penulis-penulis di Malaysia boleh jadi seperti rakan-rakan mereka di luar negara yang boleh hidup walau hanya dengan menulis. Atau adakah mereka tidak pernah mendengar tentang sigma atau Poka-yoke atau GYAT?

Thursday, July 17, 2008

Erm... orang lelaki ni memang muka tak malu rupanya!


Lambakan novel cinta bahasa Melayu di pasaran dikatakan berpunca daripada tabiat membaca di kalangan wanita berbanding lelaki yang kurang minat membaca sehingga mempengaruhi keputusan penerbit dalam menerbitkan bahan bacaan terbitan mereka.

“Novel cinta memerlukan pengarangnya untuk kuat berangan. Masyarakat mungkin menganggap perkara ini pelik, tetapi itulah antara ciri yang diperlukan untuk tampil sebagai penulis novel cinta. Setiap novel juga perlu menampilkan kelainan bagi mengelakkan pembaca jemu dan penulis tidak boleh angkuh apabila karya mereka mendapat sambutan,” katanya. (Aina Emir) Berita penuh

Soalan 1: Wahai orang lelaki, adakah kamu tidak merasa malu bila dikatakan sebagai golongan yang paling kurang membaca berbanding wanita? Membaca tak akan menjatuhkan martabat kelakian , percayalah!

Soalan 2: Adakah novel cinta sahaja yang memerlukan seseorang penulis mempunyai daya imaginasi yang kuat?

Fakta 1: Tidak kira lelaki atau perempuan seharusnya memberikan sokongan kepada industri novel tempatan; jika tidak pasaran novel kita akan jadi seperti air mati yang tidak mengalir lagi

Fakta 2: Untuk itu, seharusnya penulis (dan juga penerbit) mesti berani untuk mempelbagaikan genre penulisan mereka dan tidak terkongkong dengan novel cinta semata-mata.



Sekali lagi nota: 1. Tak semua novel cinta yang tak bagus, tapi janganlah semua nak menulis novel cinta, uhuhu

2. Tak semua lelaki yang berfikiran 'sempit' dan tidak pernah meluangkan masa untuk membaca

Tuesday, July 15, 2008

Debat, Debat, Debat


Hari ini, engkau tidak tahu siapakah dajal dan siapakah malaikat. Siapa yang menipu atau siapa yang ditipu. Siapa yang berkorban untuk rakyat dan siapa pula yang mengorbankan rakyat.
Satu pihak melaungkan kongkongan kepada media dan batasan sosialisme, satu pihak memperjuangkan kebebasan tanpa had.

Aku kira, kebebasan tanpa had dan kesejahteraan tetapi hidup dalam kongkongan adalah dua perkara yang tidak mungkin dapat disatukan.

Jadi malam ini... aku menunggu dan melihat....


P/S: momokan ini tidak ditujukan kepada mana-mana individu, sekadar generalisasi...

Thursday, June 26, 2008

Bila kali terakhir engkau membeli buku?


Dato Shafie Afdal, menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan memberitahu bahawa purata keluarga di Malaysia berbelanja untuk membeli buku adalah lebih kurang RM50 setahun. Jelasnya walaupun jumlah tersebut agak kecil tetapi terdapat peningkatan minat membaca serta trend membeli buku di kalangan rakyat Malaysia..

Sukar untuk mempercayai bahawa inilah realiti yang harus dihadapi oleh dunia penulisan di Malaysia. Pada aku, semakin bertambah sukarlah untuk membuat satu karya yang benar-benar berkualiti dan betul-betul bertaraf antarabangsa kerana rasanya, tidak ada orang yang akan membeli karya itu. Tidak cukup duit, nanti itu yang dikata oleh mereka. Patutlah bahan bacaan ringan lebih berjaya dipasarkan daripada yang bersifat akademik dan fiksyen yang mencabar.

Aku ada satu teori. Mungkin dengan RM50, ramai pembeli novel dan buku akan berfikir dua tiga kali untuk memilih buku apa yang mahu dibeli. Mungkin mereka fikir adalah lebih baik membeli:

a) Buku-buku cinta remaja/terlalu santai, buku tanpa perlu berfikir ketika membaca. Lagipun sekarang ini masing-masing sakit kepala dengan kegawatan ekonomi, jadi kenapa perlu sakitkan kepala lagi dengan membaca sesuatu yang membuatkan kita harus berfikir?

b) Bahan-bahan bacaan asing kerana menganggap tidak ada bahan bacaan tempatan yang berkualiti.

Jadi sebab itu, wahai kerajaan/pengkritik sastera/pembeli buku orang Melayu yang kadang-kadang geli mahu membeli novel Melayu, jangan salahkan penulis-penulis Melayu jika lebih banyak genre cinta yang dihasilkan oleh mereka berbanding genre lain. Kerana apa? Kerana Genre cinta adalah genre yang paling mudah sekali untuk dijual. Lagipun kawan, penerbit mahu ‘hidup’ dan mencari makan juga. Penulis pun sama!

Aku tidak nafikan bahawa sudah ada ramai penulis yang cuba lari dari genre cinta (daripada penerbitan kreatif/popular) atau cinta hanya diselitkan sebagai isu kecil dalam novel, tetapi jika tidak ada ‘support’ daripada orang ramai dan pihak-pihak yang berkenaan, penulis-penulis ini juga akan berasa lelah untuk menulis sesuatu yang berkualiti tetapi tidak boleh cari makan terus.

Inilah realiti yang harus kami tempuh. Bukannya prejudis atau pesimis. Tetapi kebenaran yang tidak dapat disangkal.

Melihat kembali kata-kata Dato Shafie, menteri itu merayu semua pihak (kerajaan dan swasta) untuk menggalakkan budaya membaca kerana bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membaca. Apa yang dikatakannya betul. Tetapi saranan itu tidak lebih seperti melepaskan batuk di tangga. Sekadar bercakap tanpa memberikan langkah-langkah yang perlu untuk mewujudkan budaya suka membaca itu adalah seperti tindakan untuk melepaskan diri sendiri secara halus. Kita perlukan cadangan yang konstruktif, bukan hanya cadangan tanpa menggariskan apa yang harus dilakukan.

Nah! Dia juga menyarankan bahawa harga buku harus diturunkan. Erm... diturunkan? Aku rasa mungkin dia tidak peka dengan perkembangan semasa. Dalam kegawatan ekonomi dan harga minyak yang semakin naik, sukar untuk membuat rasional atas saranan itu. Bukan aku tidak suka harga buku turun, tetapi mahukah pihak-pihak berkaitan mahu menurunkannya?

Lagipun, dalam laporan berita harian hari ini, dinyatakan bahawa penerbit-penerbit buku Melayu telah menerima impak hasil daripada kegawatan ekonomi dan harga minyak yang naik. Harga cetakan sudah semakin naik, jadi bagaimana mahu menurunkan harga buku.

Aku cuma berharap satu perkara sahaja, jika tahun hadapan menteri kebudayaan, kesenian dan warisan di tanya soalan yang sama, aku harap jawapannya bukan begini:

“Purata satu keluarga membeli bahan bacaan setahun Cuma RM10, tetapi itu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mahu untuk membaca lagi. Satu perkembangan yang MASIH sihat!”

Friday, June 20, 2008

MASKARA 9!!


MAHU DEKLAMASI SAJAK ATAU BACA 'EXCERPT' DARI GARIS-GARIS DEJA VU?

Tuesday, June 17, 2008

Che Det vs Pak Lah vs Anwar


Aku sebenarnya tidak mahu menjadikan blog ini sebagai blog satira politik. Tetapi kenyataan CheDet tentang PakLah dan Pak Jib telah 'mengangkat' keningku ala-ala Ziana Zain. Sesuatu yang menarik dan sukar untuk dilepas-pandang begitu sahaja walaupun oleh penulis picisan sepertiku.

11. Saya percaya kali ini UMNO dan Barisan Nasional akan hancur langsung. Dato Seri Abdullah tidak akan jadi Perdana Menteri dan dianya tidak akan dapat serahkan jawatan Perdana Menteri kepada mantan Timbalannya, Dato Seri Najib Tun Razak. LAGI...

Adakah ini yang dinamakan suara membela rakyat dan yang hak ATAU permainan politik Machiavelli ATAU SEKADAR melepaskan emosi kerana idea jambatan bengkok telah di'scrap' oleh pemerintahan sekarang?

Thursday, June 5, 2008

Barack Obama yang terlaknat



"Jerusalem will remain the capital of Israel and it must remain undivided," Obama said. Lagi...

BARRAK OBAMA, semoga Tuhan melaknat engkau. Jerusalem akan selama-lamanya menjadi hak orang Palestin sehingga ke akhir zaman.

Ya Allah, selamatkanlah orang Palestin dari segala bentuk penindasan Zionisme yang terlaknat ini.

Celakalah manusia yang menindas manusia lain seperti Israel.