Puisi-puisi ciptaan John Norafizan (hakcipta terpelihara 2002-2007)
9. Sajak-sajak tidak tersentuh
10. Untuk engkau... dan mereka yang tersayang
11. Stesen Picadilly (a.k.a rindu)
MASIH
Engkau MASIH punya senyuman,
Yang menenangkan,
Seperti tempat teduhan pasti,
Di waktu hujan...
Engkau MASIH punya mata bundar,
Yang mengasyikkan,
Seperti panas cahaya mentari,
Di musim semi...
Engkau MASIH punya tawa,
Yang menghiburkan,
Seperti nyanyian unggas,
Di belantara suci...
Namun kenapa
Engkau MASIH
Membuatkan wajahku
Merah menahan MALU?
Atau adakah itu rindu
Yang MASIH tinggal
Di hatiku? (kembali)
BINTANG PELAYARAN
Malam itu,
Ketika kami melihat bintang pelayaran,
Dia tersenyum dan berkata,
Masanya telah tiba,
Untuk dia pergi,
Dan rindu ku menghilang dari pantai ini...
Aku cuba menafikan dan membalas,
Bahawa rindu ku akan terus segar abadi,
Dan sejauh mana aku dan dia hilang di laut biru ini,
Aku akan menjejaki dia,
Bersama bintang pelayaran yang akan membawa kami pulang ke sini...
Dia tertawa dengan seribu sendu,
Dan cuba meyakinkan aku,
Bahawa tidak ada jalan untuk takdir kami bersatu lagi...
Tetapi aku bersumpah,
Biar seribu tahun datang dan seribu tahun pergi,
Biar bintang terakhir gugur dan langit bima sakti ini tiada lagi,
Berganti kegelapan infiniti,
Aku dan dia tetap di sini,
Dan terus hidup untuk mengira kasih yang abadi...
Dia tertawa dengan seribu pilu,
Dan cuba menyedarkan aku,
Bahawa tidak ada jasad yang dapat bertahan sebegitu lama,
Aku dan dia akan menghela jua nafas yang terakhir,
Dan cinta kami akan terkubur bila tidak ada lagi yang membalas rindu...
Di pantai sepi ini,
Malam penuh bintang,
Dan bulan yang malu di balik awan,
Aku termangu di dalam sendu,
Dan aku tahu,
Dia telah pergi dan tidak akan kembali...
Untuk satu saat itu,
Aku tahu,
Tidak ada perlunya aku hidup di sini lagi... (kembali)
BUAT DIA
Jalan menuju rindu,
Tiada ruang untuk berhenti,
atau membuang pilu,
Dan aku akan tetap pergi dari sini,
Namun seandainya engkau tahu,
Bisa rindu ini,
Yang menghiris setiap nafas sendu,
Engkau pasti tidak akan tersenyum lagi... (kembali)
BERITA KEMATIAN
Mentari pun akan musnah, katanya,
Dan gugusan-gugusan bintang di dada langit malam yang kami lihat itu,
Akan terpecah dan menghilang,
Dan katanya kembali,
Seandainya aku hidup untuk berjuta tahun lagi,
Maka aku akan dapat menyaksikan kilauan itu terpadam,
Satu demi satu,
Bagaikan lampu-lampu kalimantang,
Jauh di pekan pergunungan sana...
(Atau salju yang berguguran, di tepi jalanan sunyi...)
Aku memberitahunya,
Walau sehingga saat kegelapan itu tiba,
Dan tiada lagi bintang yang bersinar,
Aku akan tetap mencintainya,
Tetapi dia memberitahu ku,
Bahawa tidak ada sesiapa,
Tidak ada satu pun jasad yang akan dapat hidup sebegitu lama...
Kami berdiri kaku,
Memandang lembah dan mentari yang jatuh,
Dan aku tahu aku tetap mencintainya,
(Walaupun tidak ada lagi salju yang gugur),
Dan bila dia menghilang,
Seluruh lembah menjadi gelap dan sunyi,
Dan aku terasa lesu,
(Yang ada hanya hembusan sejuk dan kabus tebal)
Di dalam usia yang bagaikan sudah menjangkau ribuan tahun...
Hanya rindu yang tak terbalas,
Tinggal dalam dakapan pilu...
(Dan salju yang telah lama mencair!) (kembali)
MONOLOG
Monolog ini untuk engkau yang hilang dalam memoriku. Yang tidak mungkin akan
hadir kecuali pada bait-bait puisi sayu. Puisi yang tiada daya kecuali
menghambat rasa sesalku. Atau adakah engkau telah tahu, bahawa aku akan
terhukum sebegini di saat aku meninggalkan engkau dahulu?
Perjalanan hidup kini jadi sedu. Ilham pudar dan tiada rasa. Derita
bermaharaja lela. Aku mahukan kebahagiaan tetapi dimanakah kebahagiaan? Oh!
Kesepian. Ke manakah rindu yang sekian lama engkau laung laungkan? Di
manakah simpati yang telah engkau semadikan sejak lama dahulu?
Aku sendiri jadi sangsi dengan diriku. Aku jadi sangsi pada keterlanjuran
cinta yang tidak bertepi. Aku mahukan satu perjuangan ikhlas yang tidak akan
pudar ditelan masa. Tetapi mampukah aku?
Kelam malam yang sepi bagaikan bercengkerama dalam irama syahdu, melagukan
keindahan dan melagukan suara sayu.
Mana engkau yang hilang dulu?
Yang selalu menggores senyum tatkala kita beradu,
Yang tiap hari sabar menunggu ku pulang dengan restu,
Yang tidak pernah lupa membuang ketakutanku pada perjalananan waktu,
Mana engkau yang dulu?
Mana senyum engkau yang dulu?
Atau adakah aku yang telah terlupa,
Bahawa engkau telah lama tiada,
Bahawa engkau tidak mampu lagi tertawa,
Bahawa kehidupanmu bukan lagi di dalam fana,
Di tepi malam,
Aku bungkam,
Rindu kepada engkau semakin kelam,
Hilang perlahan dalam pudar semalam... (kembali)
NYANYIAN-NYANYIAN CAMAR
Aku akan pergi,
Buat menjejak mimpi,
Walau dalam duri,
Aku tidak akan berhenti...
Pendakian ini,
Sudah tiada serinya lagi,
Tetapi akan ku gagahi,
Walau tanpa engkau di sisi...
Jangan tangisi aku,
Di atas kembara tanpa restu,
Mungkin belum sampai seru,
Untuk kita bersatu...
Jangan kesali kenangan lalu,
Yang terpinggir dalam bisu,
Kerana aku sudah tidak mampu,
Melihat engkau di dalam sendu...
Cinta kita,
Mungkin di sini sahaja,
Tetapi rindu kita,
Akan terasa selamanya...
Kisah kita,
Mungkin berakhir tanpa bahagia,
Tetapi hati kita,
Akan bersemi selamanya...
Benarkan aku pulang,
Mencari dia yang hilang,
Dan aku akan terus terbang,
Sehingga TUHAN memanggil ku datang.... (kembali)
TAMAN RINDU
Taman rindu di balik pelangi,
Yang airnya tidak putus-putus mengalunkan lagu pagi,
Menyusur waktu di balik kilau wangi,
Warna mimpi dalam cahaya yang berseri..
Di taman rindu dedaunannya tidak pernah hilang,
Walau musim luruh merangkak datang,
Dedaunnya berkilau bagai emas gemilang,
Dan bila musim bunga berdiri di pintu gerbang,
Dedaunnya jadi hijau dalam alam yang cemerlang..
Aku tahu! Aku tahu!
Engkau pasti menangis pilu,
Bagaimana lagi mahu mengetuk ke taman rindu,
Bila pintunya telah hilang dan engkau jadi kelu dalam sendu,
Bagaimana lagi mahu bermimpi rindu,
Bila mimpi mu gelap dan tiada restu,
Bagaimana lagi mahu bernyanyi rindu,
Bila dia yang tersayang telah pergi dari sisi mu!
Aku tahu! aku tiada kata lagi,
Untuk berbicara pada mu tentang mentari,
Kerana aku sendiri pernah terluka di taman ini,
Tetapi taman rindu sendiri yang membangkitkan aku dari mimpi ngeri....
Katanya,
Engkau tidak boleh mengetuk rindu selalu,
Kerana nanti engkau akan terlupa,
Bahawa banyak lagi pintu dalam ruang perjalanan hidup mu,
Katanya,
Engkau tidak boleh bermimpi rindu selalu,
Kerana nanti malam mu akan jadi penasaran dan terluka,
Dan engkau tidak boleh selalu bernyanyi rindu,
Kerana nyanyian rindu itu adalah bunga semusim
Dan kadangkala gugur sebelum tiba waktunya…
ii.
Taman rindu tetap ada di situ,
Dalam hati setiap pertemuan mu,
Dan engkau tidak perlu mengesat air mata mu,
Kerana ramai yang akan datang membantu… (kembali)
MELANKOLIA RINDU
Di pantai sepi,
Aku mengutip pilu,
Memanggil engkau,
Dengan cinta yang pergi...
Namun pantai ini,
Kejam membisu,
Dan kenangan lalu,
Tetap tidak kembali...
Ke mana lagi,
Untuk ku tuju,
Bertanya tentang engkau,
Dan seribu janji...
Aku cuba bertanya pada diri,
Pada waktu dan laut biru,
Tidak mungkinkah rindu,
Bertaup kembali?
Atau mungkinkah ini,
Sumpahanku,
Bahawa ruang untuk bertemu,
Untuk kau datang dengan restu,
Untuk kau bawa janji dahulu,
Untuk kau hidup dalam hatiku,
Bersemadi mati?
Hilang dalam KATARSIS,
Lemas tanpa arah,
Hilang dalam KATARSIS,
Cinta yang tiada sudah...
Lalu pada mentari,
Ku khabar sendu,
Tidak lagi perlu menunggu,
Destinasi tidak pasti...
Pada ilusi,
Ku bawa khabar baru,
Biarkan berlalu,
Wajah tanpa erti... (kembali)
SAJAK-SAJAK TIDAK TERSENTUH
Saat ini malam memberitahu ku bahawa siang akan menjelma semula. Saat ini malam akan merangkak pergi meninggalkan segalanya dalam kelam segala rindu.
Ah! Engkau tidak tahu betapa sejuta mimpi yang ku temu tidak akan diganti dengan sinar mentari pagi.
Seseorang pernah berkata pada ku...
Mungkin lukisan bintang semalam akan menjadi lebih cantik coraknya
hari ini.... mungkin mimpi musim lalu akan terbang lalu menjadi impian hari
esok.... siapa tahu??? sejauh mana pun kaki melangkah, jangan biarkan kenangan
semalam menyadung kaki lalu menyungkur kan tubuh ke bumi....
Engkau tidak pernah tahu betapa cerita semalam masih lagi tumbuh mekar. Engkau tidak akan pernah faham betapa aku masih belum mampu untuk bangun dan terbang mendakap langit biru.
Dinihari ini,
Lantai tanah penuh dengan salji memutih,
Dingin yang membeku,
Kau bakar dengan panas sinar matamu,
Dan hatiku mencair di dalammu...
Aku bukan mahu berpijak di atas awan putih selamanya. Aku tidak mahu mencari sesuatu yang tidak mungkin dapat ku gapai lagi.
Tetapi biarkanlah aku menganyam rindu semalam tanpa perlu membuat keputusan yang terlalu pantas.
Terbang bagai burung,
Merentas angin di pantai sepi,
Mengejar mentari pagi,
Hinggakan terlupa luka di hati...
Aku mahu bebas mengejar anganku. Aku mahu melangkah ke seluruh alam dan terbang ke langit kalbu. Dan aku mahu merasa manisnya kehidupan ini dahulu.
Engkau mungkin tidak akan mengerti dan engkau mungkin akan berkata, Dia tidak akan hadir lagi di dalam hidupmu. Lalu, untuk apa menunggu orang yang telah tiada?
Tetapi aku tidak meletakkan syarat dalam percintaan, dan aku mencintainya bukan kerana dia mencintaiku – kerana itu cintaku kepadanya akan tetap memekar setiap hari!
Hujan yang turun,
Mengingatkan aku pada rindu,
Dan akupun terpaku,
Bila hujan dan rindu bersatu!
Aku akan tetap berada di sini, sehingga Tuhan memanggilku pulang
Taman Rindu di Balik Kalbu,
Ada sendu yang berlalu.... (kembali)
UNTUK ENGKAU... DAN MEREKA YANG TERSAYANG
Aku mahu mengejar engkau,
Hingga ke hujung dunia,
Hingga nafas yang terakhir pergi,
Kerana aku tidak mahu hanyut dalam kehilangan...
Aku mahu menemani engkau,
Di dalam setiap detik masa,
Terbang dalam gembiramu,
Dan tidak akan berpaling dari cinta...
Biar dengan peluh darah,
Biar dengan seribu kematian,
Aku akan ada,
Di dalam setiap mimpimu...
Biar segala-galanya hilang,
Biar segala-galanya terpadam,
Aku akan tetap menantimu... (kembali)
STESEN PICADILLY (A.K.A. RINDU)
Saat itu,
keretapi meluncur laju,
Angin dan Dandelion bersatu,
Bermain-main dengan rambutku...
Engkau melambai tanpa sendu,
Buat aku malu,
Di dalam pilu...
Ini bukan rindu,
Cuma ilusi lesu,
Buat aku kelu,
di hari baru...
Stesen ini kembali silu,
Udara yang beku,
Dan penumpang turun naik tanpa memandangku...
2.
Ketentuan-MU,
Bahawa aku dan dia tak mungkin bersatu,
Seperti laut dan langit biru....
3.
Namun aku,
Masih mahu,
Menjejak RINDU... (kembali)